India arah pemimpin gerakan ‘cockroach’ tidak menggunakan pasport

NEW DELHI: Kementerian Luar India pada Rabu berkata pihak berkuasa pasport menasihatkan pemimpin gerakan ‘cockroach’, Saurav Das, supaya tidak menggunakan pasportnya sehingga beliau menjelaskan maklumat mengenai tempat kelahirannya.
Pada Isnin, Das berkata beliau ditahan di Lapangan Terbang Delhi beberapa jam sebelum berlepas ke London untuk bercakap dengan pelajar. Beliau berkata notis berkaitan pasport itu dikeluarkan sebelum kejadian tersebut. Das menuduh kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi cuba membungkam bantahan dan menyekat perbahasan dengan menghalangnya daripada ke Britain.
Jurucakap Kementerian Luar India, Randhir Jaiswal, berkata pihak berkuasa pasport mengeluarkan notis apabila terdapat percanggahan atau laporan mengenai maklumat yang dianggap sebagai penyembunyian fakta. “Beliau juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan pasport itu sehingga mengemukakan jawapannya,” kata Jaiswal dalam taklimat media berkala, merujuk kepada Das.
Menurut laman berita undang-undang LiveLaw, Das memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Delhi bagi mencabar tindakan kerajaan itu. Petisyen berkenaan dijadual didengar pada Khamis.
Das ialah antara 14 orang yang memanjat penghadang pada 13 Okt untuk memasuki balai cerap Jantar Mantar di tengah Delhi. Kejadian itu berlaku sehari selepas lokasi berkenaan dikeluarkan daripada senarai tapak bantahan yang ditetapkan. Das ditahan selama beberapa hari.
Beliau mengetuai ribuan penyokong muda yang menuntut peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya Gyanesh Kumar berhubung semakan senarai pengundi. Pengkritik mendakwa semakan itu memihak kepada Parti Bharatiya Janata pimpinan Modi. Terdahulu, penyokong gerakan ‘cockroach’ mengadakan duduk bantah selama beberapa minggu pada awal tahun ini, yang memaksa Menteri Pendidikan Dharmendra Pradhan meletakkan jawatan berhubung kebocoran kertas peperiksaan.