Anwar mahu lebih banyak program wacana suburkan dialog matang

Sumber: Harian Metro
Anwar mahu lebih banyak program wacana suburkan dialog matang
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lebih banyak program berunsur wacana dianjurkan bagi memberi pencerahan, merungkai kekeliruan dan mencetuskan percambahan idea. Harapan itu disuarakan selepas beliau menyertai Dialog Negara Khas: ‘Di Sebalik Keputusan…’ yang disiarkan menerusi RTM dan saluran media tempatan pada 9 malam tadi.

Anwar berkata, program sedemikian juga dapat menyuburkan budaya dialog yang matang dan terbuka. Menurutnya, kematangan demokrasi sesebuah negara turut dinilai berdasarkan kesediaan pemimpin mendengar, menjawab serta menerima teguran rakyat dengan penuh keinsafan dan tanggungjawab.

Dalam hantaran di Facebook malam ini, beliau berkata berpeluang menjawab pelbagai persoalan daripada moderator dan panelis yang mewakili pelbagai segmen masyarakat. Wadah itu, katanya, membolehkan beliau memperjelas dasar, pertimbangan serta keputusan Kerajaan MADANI dalam mengemudi negara, selain menyelami keresahan, harapan dan aspirasi rakyat.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam program itu ialah jaminan hak penduduk asal dalam pembangunan semula bandar, perkhidmatan kesihatan awam dan pendidikan kesihatan mental di sekolah. Cadangan menubuhkan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) turut dibincangkan.

Sesi itu juga menyentuh usaha membanteras rasuah, kebebasan bersuara mahasiswa, penempatan penjawat awam dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Panelis mengemukakan persoalan berkaitan dasar, pertimbangan dan keputusan kerajaan kepada Perdana Menteri.