Garnacho padam jejak Aston Villa daripada Instagram

Sumber: Harian Metro
Garnacho padam jejak Aston Villa daripada Instagram
Gambar: Harian Metro

LONDON: Pemain sayap Chelsea yang dipinjamkan ke Aston Villa, Alejandro Garnacho, mencetuskan perhatian selepas memadam semua perkara berkaitan kelab itu daripada akaun Instagram miliknya, susulan tidak disenaraikan dalam skuad untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Galatasaray.

Pemain berusia 22 tahun itu tidak berada dalam senarai pemain Villa bagi perlawanan berkenaan walaupun masih terdapat satu slot kosong di bangku simpanan. Villa kendalian Unai Emery tewas 0-1 kepada kelab gergasi Turkiye itu.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan pemain Argentina itu, Emery berkata: “Hari ini, pemain yang berada di sini adalah mereka yang saya fikir paling layak bersama kami dan beraksi untuk pasukan.”

Garnacho hanya membuat tujuh penampilan sebagai pemain gantian di bawah kendalian Emery. Dia juga tidak disenaraikan ketika Villa menentang Sunderland hujung minggu lalu, dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Susulan kritikan terhadap ketiadaannya, Garnacho memadam kandungan berkaitan Villa daripada Instagram, termasuk gambar profil yang digantikan dengan gambar ‘telur’. Biodatanya turut diubah dan kini hanya memaparkan perkataan ‘ahli sukan’.

Dia juga meletakkan hantaran mengenai kejayaan menjulang Piala FA bersama Manchester United pada 2024 di bahagian paling atas akaunnya. Perubahan itu pantas disedari peminat dan mencetuskan reaksi di media sosial.

Sebahagian penyokong United berpendapat Garnacho mampu mendapat tempat dalam pasukan itu ketika ini, susulan prestasi kelab berkenaan yang tidak menentu.