Iklan buah pelaga cetus pertikaian pelakon Bollywood dengan pengawal makanan India

NEW DELHI: Pelakon Bollywood Ajay Devgn menyaman pihak berkuasa makanan negeri Maharashtra selepas diarahkan berhenti muncul dalam iklan produk buah pelaga Vimal, dalam pertikaian yang boleh menentukan batas pengiklanan tidak langsung bagi jenama berkaitan produk yang promosinya dihadkan. Pemfailan mahkamah sulit bertarikh 15 Okt yang diteliti Reuters menyatakan Devgn mempertikaikan arahan itu.
Maharashtra pada Ogos meminta Devgn, Shah Rukh Khan dan Tiger Shroff menghentikan kemunculan dalam iklan Vimal. Pihak berkuasa negeri berhujah jenama itu lebih dikenali menerusi campuran pinang atau pan masala, yang diharamkan di Maharashtra.
Pesuruhjaya keselamatan makanan negeri, Tukaram Mundhe, memberitahu Reuters bahawa pihaknya berpandangan iklan berkenaan bertentangan dengan kepentingan kesihatan awam. Negeri itu juga sedang meneliti maklum balas yang dikemukakan Khan dan Shroff, namun Reuters tidak dapat mengesahkan butiran respons mereka.
Devgn pula berhujah dalam pemfailannya bahawa buah pelaga tidak diharamkan di negeri itu dan “tiada halangan untuk menyokong produk yang tidak dilarang”. Beliau tidak menjawab pertanyaan Reuters.
Iklan yang dimuat naik di halaman YouTube Vimal Cardamom dua tahun lalu memaparkan ketiga-tiga bintang itu meraikan sesuatu sambil melemparkan serbuk saffron sesama sendiri selepas Devgn mengambil produk berkenaan. Iklan berbahasa Hindi itu meraih 107 juta tontonan, manakala klip yang dialih suara ke bahasa India lain mendapat jutaan tontonan lagi.
Pertikaian di Mahkamah Tinggi Mumbai itu berpotensi menjadi duluan, kata peguam yang berpangkalan di New Delhi, Anuj Tiwari. “Kes itu akan menguji keadilan proses jabatan sebelum sekatan dikenakan... serta parameter untuk menentukan perkara yang dianggap sebagai pengiklanan tidak langsung,” katanya.
India mengehadkan pengiklanan minuman keras dan tembakau. Namun, sejak sekian lama pegawai turut mempersoalkan kaedah pengiklanan pengganti, apabila syarikat dalam sektor berkenaan mempromosikan jenama melalui produk seperti minuman berkarbonat, air atau barangan kaca.
Syarikat berpendapat produk sedemikian ialah perniagaan tulen yang berasingan dan pengiklanannya tidak wajar disekat. Pegawai kesihatan pula mengatakan iklan itu bertujuan mengingatkan pengguna kepada jenama induk yang promosi langsungnya dihadkan. Sejak 2024, India berusaha memuktamadkan garis panduan lebih ketat untuk melarang iklan seumpama itu sepenuhnya.
Dushyant Mahant, peguam PB Agro yang memegang lesen menghasilkan buah pelaga Vimal dan pan masala, berkata dakwaan terhadap syarikat itu tidak berasas. Katanya, syarikat berkenaan tidak mempromosikan Vimal di Maharashtra dan hanya mengiklankan produk itu menerusi siaran televisyen nasional yang tidak boleh disekat mengikut geografi.
Anggaran industri meletakkan nilai pasaran pan masala India sekitar AS$5 bilion tahun lalu. Pakar kesihatan menyatakan produk itu antara punca utama fibrosis mulut, keadaan yang sering berkembang menjadi kanser mulut.
Walaupun Maharashtra mengharamkan pan masala, uncang produk Vimal tanpa tembakau di negeri-negeri lain berharga sekitar lima rupee, bersamaan 5.4 sen AS. Produk itu bagaimanapun sering diambil bersama tembakau kunyah, yang dijual di kios sebagai pek berkembar: satu uncang pan masala bersama pek kecil tembakau tanpa jenama.
Keputusan yang tidak memihak kepada Devgn boleh memberi kesan kepada pelakon Bollywood, kerana bayaran sokongan produk boleh menyumbang sehingga 30 peratus daripada pendapatan mereka. Mengiklankan produk yang dikaitkan dengan tembakau juga lebih menguntungkan berbanding iklan lain, kata penulis skrip yang berpangkalan di Mumbai, Suresh Mathew.
“Kebanyakan pelakon tahu jika sesuatu produk menjadi pengganti bagi produk lain,” katanya. “Ada kes pelakon tertentu enggan meminjamkan nama mereka kepada produk yang mereka anggap memudaratkan.”