Penyertaan 48 pasukan jadikan Zon Timur di luar jangkaan

KUALA TERENGGANU: Penyertaan 48 pasukan dari seluruh negara pada saingan Zon Timur Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Terengganu, membuktikan kejohanan itu turut menjadi platform menyatukan komuniti menerusi sukan.
Pengarah Kanan Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, sambutan terhadap kejohanan itu jauh lebih menggalakkan daripada jangkaan pihaknya, dengan pasukan dari pelbagai kawasan Semenanjung Malaysia turut mengambil bahagian.
Menurutnya, meskipun saingan itu berstatus Zon Timur, penyertaan pasukan dari utara, tengah dan selatan tanah air menjadikan pertandingan lebih meriah serta kompetitif.
“Untuk McDonald's Malaysia, ini sesuatu yang di luar jangkaan. Pertandingan sangat sengit dengan 48 regu daripada seluruh Semenanjung Malaysia mengambil bahagian.
“Walaupun namanya Zon Timur, kita turut menerima penyertaan pasukan dari utara dan selatan. Malah, ada pemain yang kembali bertanding buat kali kedua dengan pasukan berbeza,” katanya.
Antara kisah yang menarik perhatian Shamsidar ialah perjalanan pasukan KS Taman Free School. Pasukan itu sebelum ini beraksi di Zon Utara, namun kembali mencabar diri di Zon Timur selepas tidak berjaya berada dalam kelompok empat terbaik pada penyertaan terdahulu.
Katanya, usaha pasukan itu memperbaiki pencapaian, dengan sasaran untuk berada dalam kelompok lapan terbaik, memperlihatkan semangat mereka untuk terus mencuba.
Pemain pasukan berkenaan turut berkongsi pengalaman berkumpul di hadapan kediaman masing-masing sebelum bertolak ke kejohanan. Mereka berdoa dan memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain sebelum bergerak bersama-sama.
“Mereka berkumpul ramai-ramai di hadapan flat, berdoa dan memberikan kata-kata semangat sebelum datang bertanding. Malah, mereka turut berkongsi gambar beberapa kereta yang berbaris untuk bergerak bersama-sama ke kejohanan,” katanya.
Shamsidar berkata, semangat itu selari dengan usaha Liga Takraw Nasional Mekdi untuk memberi peluang kepada anak muda menimba pengalaman dan membina keyakinan melalui platform sukan bertaraf nasional.
Katanya, pemain yang tidak berjaya dalam penyertaan pertama tidak seharusnya berputus asa, sebaliknya boleh kembali mencuba dalam saingan zon lain.
McDonald's Malaysia turut menyediakan aktiviti sampingan untuk pemain, jurulatih dan pengunjung, termasuk cabutan bertuah, makanan percuma pada waktu tengah hari serta sesi perkongsian bersama atlet Terengganu yang berjaya dalam sukan sepak takraw.
Kemeriahan acara turut diserikan dengan kehadiran personaliti Molek FM, Mat Dan, yang beramah mesra dengan pemain dan pengunjung menerusi sesi santai serta perkongsian pengalaman.
Shamsidar berkata, kehadiran masyarakat setempat yang datang menyokong pasukan masing-masing menunjukkan kejohanan itu berjaya mendekatkan sukan dengan komuniti. Penduduk kampung turut hadir memberikan sokongan, manakala sebahagian pengunjung membawa makanan.
“Menyantuni komuniti adalah nilai teras McDonald's Malaysia. Jadi, menerusi sukan sepak takraw, kita juga mahu elemen itu diterapkan.
“Alhamdulillah, kita dapat menyaksikan masyarakat datang beramai-ramai, membawa makanan dan memberikan sokongan kepada pasukan mereka. Itu antara pengalaman indah yang kita dapat lihat sepanjang Zon Timur,” katanya.
Mengulas persiapan Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di Kuala Lumpur pada 28 dan 29 November ini, Shamsidar berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Harian Metro dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk memastikan persiapan rapi bagi menjayakan acara itu.
Grand Final yang membabitkan 16 pasukan terbaik dijangka menjadi kemuncak persaingan sepanjang tiga zon, selain meneruskan usaha mencungkil bakat baharu dan mengembangkan sukan sepak takraw dalam kalangan generasi muda.