Bas KKM terbakar di Senawang, 14 individu selamat

SEREMBAN: Seramai 14 individu, terdiri daripada 13 warga Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang pemandu, selamat apabila bas milik kementerian itu terbakar di bahu jalan kawasan Rehat dan Rawat Senawang arah selatan, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada waktu itu sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang tiba di lokasi pada jam 12.16 tengah hari.
Menurutnya, bas berkenaan didapati sedang marak terbakar ketika pasukan bomba sampai. Api berjaya dikawal pada jam 12.20 tengah hari, manakala operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada jam 1.19 petang.
Bas itu dilaporkan musnah 85 peratus dalam kebakaran berkenaan. Operasi turut dibantu petugas dari BBP Seremban dan BBP Seremban 2.