Anwar setuju pendidikan kesihatan mental dimasukkan dalam kurikulum sekolah

Sumber: Harian Metro
Anwar setuju pendidikan kesihatan mental dimasukkan dalam kurikulum sekolah
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) memasukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bagi membantu pelajar mengurus tekanan dengan lebih baik. Beliau berkata pendekatan pengajaran perlu dirangka secara berhemah dan menarik supaya dapat meningkatkan minat serta penghayatan pelajar.

Anwar berkata pengajaran itu perlu mengambil kira kepentingan pendidikan agama dan moral. Beliau turut menyentuh penghayatan pelajaran Islam dalam kalangan pelajar beragama Islam.

“Semua anak-anak (beragama Islam) sekarang belajar Islam, semua berjemaah tetapi penghayatannya itu tidak jadi, saya setuju,” katanya pada program Dialog Negara yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik malam ini.

Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Beliau berkata bilangan kaunselor terlatih di sekolah perlu ditambah untuk menangani kes yang lebih serius. Bagaimanapun, usaha itu mungkin mengambil masa kerana memerlukan peruntukan besar.

“Kalau perlu kita terpaksalah tetapi mengambil masa. Buat sementara ini harus ditimbulkan kesedaran. Penyelesaian kita ini terlalu terpisah-pisah. Kita timbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Anwar berkata ibu bapa dan guru masing-masing mempunyai tanggungjawab dalam menangani isu kesihatan mental pelajar. Menurutnya, jika amanah itu dipikul dengan sebaik dan seikhlas mungkin, sebahagian masalah dapat ditangani.

Berdasarkan pembentangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, katanya, kebanyakan kes melibatkan pelajar sekolah, termasuk buli, berpunca daripada tekanan keluarga seperti desakan berlebihan supaya anak-anak belajar, selain penganiayaan dan penderaan di sekolah.

Beliau berkata penyelesaian boleh mengambil kira cadangan KPM, Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO), selain meningkatkan kesedaran di rumah. Ibu bapa dan keluarga, katanya, perlu meluangkan masa, mendidik, menjaga serta menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.

“Bagi saya penting. Kena ada asas bahawa mesti ada tanggungjawab ibu bapa dan keluarga. Sibuk bagaimanapun tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjaga, mendidik, memberi masa dan ruang, menunjukkan rasa kasih sayang,” katanya.

Panel program itu terdiri daripada Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik UKM Datuk Dr Anis Yusal Yusof, Pegawai Perubatan Dr Malar Santhi Santherasegapan, serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital Adam Shamil.

Turut menjadi panel ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group Dr Madiha Fuad, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad Azmi Zainal, Pendakwah Bebas Izzhar Nazri, Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.