Johari mahu produk import di platform e-dagang miliki pensijilan kualiti

Sumber: Harian Metro
Johari mahu produk import di platform e-dagang miliki pensijilan kualiti
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Produk luar negara yang dijual menerusi platform e-dagang perlu memiliki pensijilan kualiti ditetapkan sebelum dipasarkan kepada pengguna tempatan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Beliau berkata, keperluan itu penting bagi membendung kemasukan barangan import, khususnya produk elektrik tanpa pensijilan yang boleh membahayakan pengguna.

Johari berkata, produk yang memasuki pasaran Malaysia perlu memenuhi standard negara dan antarabangsa, sama seperti kawal selia ketat yang dikenakan terhadap barangan keluaran tempatan.

“Rakyat bayar, tetapi standard tiada. Barang baru dua tiga bulan digunakan sudah rosak.

“Walaupun pada awalnya nampak seperti berbaloi dengan harga yang dibayar (value for money), hakikatnya produk itu tidak tahan lama,” katanya pada sidang media sempena Majlis SIRIM Industri 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, kawalan yang tidak ketat terhadap barangan yang dijual melalui e-dagang menyebabkan banyak produk ditawarkan pada harga murah tanpa jaminan kualiti. Selain menjejaskan hak pengguna, produk yang tidak mempunyai pensijilan sah turut dikhuatiri membawa risiko keselamatan dan membahayakan orang ramai.

Sehubungan itu, perbincangan sudah diadakan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mencari mekanisme kawalan terbaik terhadap operasi platform e-dagang.

Johari berkata, tindakan sewajarnya menerusi MCMC akan dipertimbangkan terhadap platform yang gagal mematuhi atau mengambil maklum tentang ketetapan standard kualiti berkenaan. Penguatkuasaan pensijilan terhadap produk import juga bertujuan memastikan persaingan lebih adil kepada pengilang dan pengeluar tempatan.

Katanya, pengeluar dalam negara perlu membayar kos pensijilan bagi memastikan kualiti produk dan pengiktirafan operasi mereka, sedangkan produk luar boleh memasuki pasaran tanpa menanggung kos itu, sekali gus kelihatan jauh lebih murah.

Beliau berkata, kerajaan tetap menggalakkan pembelian dalam talian, namun kerjasama rentas kementerian akan terus diperkukuh supaya setiap barangan yang sampai kepada pengguna memenuhi piawaian ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Johari mengucapkan tahniah kepada SIRIM QAS International yang menjadi Badan Pensijilan Kebangsaan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara menerima akreditasi bagi Keperluan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) AS9110 untuk Organisasi Penyelenggaraan Penerbangan.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian penting untuk ekosistem aeroangkasa negara. Ia turut memperkukuh keupayaan penilaian pematuhan domestik dan memudahkan syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan memperoleh pensijilan bertaraf antarabangsa.

Johari berkata, meskipun Malaysia mengukuhkan kedudukan sebagai pemain serantau yang berdaya saing dalam perkhidmatan MRO, industri tempatan masih mempunyai ruang untuk berkembang daripada penyelenggaraan pesawat konvensional kepada kegiatan bernilai tinggi, termasuk pembaikan enjin dan komponen.

“Cita-cita kita mestilah melangkaui usaha menarik pemain aeroangkasa global yang sedia ada ke negara ini.

“Kita mesti membangunkan ekosistem syarikat Malaysia yang keupayaannya menjadikan mereka rakan kongsi yang diperlukan dalam rantaian bekalan aeroangkasa global,” katanya.

Beliau turut berharap peranan SIRIM dapat diperkasakan sebagai rakan strategik transformasi perindustrian negara selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), termasuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan beralih ke rantaian nilai yang lebih tinggi.