Zii Jia mara, Justin dan June Wei terkandas di pusingan awal

Kuala Lumpur: Lee Zii Jia memulakan kempen Kejohanan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India dengan langkah meyakinkan apabila menewaskan wakil tuan rumah, S Sankar Muthusamy, 21-17, 21-12 dalam pusingan pertama. Kemenangan itu turut mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga pertemuan dengan pemain ranking ke-98 dunia berkenaan.
Sementara itu, nasib menimpa Justin Hoh dan Cheam June Wei apabila kedua-duanya terkeluar di pusingan pertama. Justin tewas kepada pemain India, Tushar Suveer, 11-21, 17-21, manakala June Wei gagal melangkah apabila tumbang kepada wakil Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo, 13-21, 15-21.
Dalam acara perseorangan wanita, Wong Ling Ching membuka kempen dengan kemenangan meyakinkan apabila menewaskan wakil tuan rumah, Aakarshi Kashyap, 21-11, 21-10 dalam masa 37 minit. Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Eogene Ewe turut mara selepas menewaskan pemain Jepun, Riku Hatano, 21-12, 19-21, 21-14 dalam pertarungan selama 61 minit, sekali gus berdepan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin bagi merebut tempat ke suku akhir.