YTN bimbing murid kuasai 3M, bina keyakinan diri melalui Spark 3M 2026 di Terengganu

Sumber: Sinar Harian

Kuala Terengganu: Yayasan Tenaga Nasional (YTN) meneruskan komitmen memperkasa pendidikan negara melalui penganjuran Program Spark 3M 2026 di Terengganu. Program itu menekankan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) sejak sekolah rendah melalui pendekatan intervensi awal yang berfokus serta pembelajaran menyeronokkan, selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Program berteraskan intervensi awal itu dirangka untuk menyokong inisiatif kerajaan memastikan murid menguasai kemahiran 3M dengan kukuh. Ia menekankan sokongan berfokus serta pembelajaran yang menyeronokkan bagi memastikan murid dapat menguasai 3M sejak awal.

Edisi tahun ini melibatkan 120 murid sekolah rendah Tahun Dua hingga Tahun Enam yang menghadapi masalah dalam penguasaan 3M. Turut terlibat adalah 70 mahasiswa tajaan YTN bertindak sebagai fasilitator dan tenaga pengajar bagi program itu.

Pengarah YTN, Shahrulnizam Md Nur, berkata kerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) membolehkan pelaksanaan intervensi secara berfokus mengikut negeri selepas kejayaan program sama di Selangor tahun lalu. Beliau menegaskan bahawa program ini selaras dengan visi YTN iaitu Nurturing Future Leaders dan Transforming Lives Through Excellent Education Opportunities.

“Selaras dengan visi YTN iaitu Nurturing Future Leaders dan Transforming Lives Through Excellent Education Opportunities, kami cuba mengubah masa depan anak-anak Malaysia melalui pendidikan kerana kami percaya ia adalah kunci utama kemajuan negara. Sebelum ini, YTN dikenali sebagai pemberi biasiswa kepada pelajar cemerlang, namun kami juga berasa bertanggungjawab membantu dan meningkatkan taraf hidup pelajar yang tercicir atau ketinggalan dalam penguasaan 3M,” katanya.

Beliau juga berharap kemahiran asas berkenaan tidak lagi menjadi halangan kepada peserta untuk menguasai ilmu pengetahuan. “Kami juga berharap tidak mustahil suatu hari nanti mereka menjadi pelajar tajaan YTN untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya. Mungkin kita boleh menghantar mereka belajar di luar negara sebagai pelajar tajaan YTN sebelum kembali berkhidmat untuk TNB dan negara,” tambahnya.

Intervensi berfokus tingkat penguasaan 3M

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Tengku Norma Tengku Mansor menyifatkan program itu sebagai istimewa kerana menghimpunkan murid pemulihan khas dari seluruh negeri untuk menjalani intervensi secara berfokus di stesen pembelajaran yang disediakan. Menurutnya, usaha YTN lebih meluas dengan melibatkan seluruh negeri Terengganu serta menyediakan kemudahan terbaik termasuk penginapan, makanan dan keselamatan.

“JPN melihat model kerjasama ini wajar diperluas ke negeri lain kerana ia seiring dengan RPM 2027-2035 bagi merapatkan jurang literasi dan numerasi pada akhir Tahap Satu,” katanya.

Pandangan itu disokong Guru Pemulihan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tempurung, Raja Shazwani Raja Mohamad. Katanya, murid pemulihan bukan sahaja berdepan isu kognitif, malah turut dipengaruhi faktor persekitaran seperti penggunaan dialek tempatan. “Dengan aktiviti menarik, peruntukan besar serta interaksi menggunakan bahasa standard bersama abang dan kakak fasilitator, murid-murid ini terbukti mampu pulih seperti murid biasa dan lebih yakin berkomunikasi menjelang hari kedua program,” ujarnya.

Bagi fasilitator program, Muhammad Firas Riza Hadafi, 19, pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Tenaga (Kepujian) di Universiti Tenaga Nasional (Tenaga University) dan penerima PRIME Scholarship YTN, berkata segala penat lelah mengendalikan peserta berbaloi apabila melihat keterujaan mereka menyertai aktiviti didik hibur di lapan stesen berbeza. “Walaupun penat mengawal murid, segala keletihan terbayar apabila melihat keterujaan mereka menyertai aktiviti dari hari ke hari,” katanya.

Beliau menyatakan cabaran utama sebagai fasilitator adalah memastikan murid dapat menyesuaikan diri dengan rakan baharu serta menjaga keselamatan apabila mula teruja. “Bagi memupuk minat mereka, kami dibantu guru-guru berdedikasi dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Terengganu yang mengendalikan lapan stesen aktiviti didik hibur seperti puzzle dan rolling chair. Kaedah ini memastikan peserta kekal fokus mempelajari literasi dan numerasi tanpa berasa bosan,” tambahnya.

Murid lebih yakin, ibu bapa lihat perubahan positif

Ibu peserta, Norwahida Alias, 44, berkata anaknya Nur Alvina Aneisha Mohd Shahril, 11, dari SK Gong Kapas yang sebelum ini pemalu serta lemah dalam membaca dan mengira kini kelihatan lebih ceria, berkeyakinan dan mempunyai ramai kawan.

Senada dengan Norwahida, Muhammad Faiz Zulkipli, 31, turut berpandangan program selama empat hari tiga malam itu dapat mengubah sikap adiknya Nurul Arika Ibrahim, 10, dari SK Paya Bunga.

“Pada mulanya, adik memang tidak mahu menyertai program ini dan terpaksa dipujuk. Dia mempunyai masalah dalam penguasaan 3M serta kurang bergaul dengan kawan-kawan, tetapi selepas menyertai program ini, saya nampak dia kini lebih yakin,” ujarnya.

Perasaan teruja turut dikongsi peserta, Muhammad Ikram Haikal Muhibuddin, 11, dari SK Amer yang mengakui lebih yakin apabila namanya dipanggil guru untuk membaca di dalam kelas selepas mengikuti program selama empat hari itu. “Sebelum ini, saya memang susah hendak membaca, tetapi sejak menyertai program ini, saya rasa sangat seronok. Selepas ini, apabila cikgu memanggil saya untuk membaca di kelas, saya berasa lebih yakin dan akan berkongsi pengalaman sepanjang empat hari ini dengan kawan-kawan lain,” katanya.

Nur Hanis Atiqah Azha, 10, dari SK Pasir Panjang, menyatakan dia gembira kerana pembelajaran subjek Matematik disampaikan dengan cara menyeronokkan, serta mendapat bimbingan daripada fasilitator yang baik. “Sebelum ini, subjek yang paling susah bagi saya ialah Matematik kerana saya lemah mengira, tetapi program ini membawa banyak pembaharuan menerusi kaedah pembelajaran yang sangat menyeronokkan. Saya dapat ramai kawan baharu, malah abang dan kakak fasilitator semuanya baik,” kongsinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!