Yayasan Khazanah tingkat usaha untuk melatih pemimpin masa hadapan

Kuala Lumpur: Yayasan Khazanah (YK) terus memperluas peranannya dalam pembangunan bakat dengan menyokong 1,893 warga Malaysia melalui program biasiswa dan pembangunan kepemimpinan sejak penubuhannya pada 2006. Sempena ulang tahun ke-20 tahun ini, YK dianggap bukan sekadar penyokong akademik, sebaliknya menyediakan peluang kepada pelajar untuk membangun kemahiran kepemimpinan, membina karakter, menerima bimbingan, menyertai aktiviti sukarelawan dan mendapat pendedahan dalam industri.
Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, menegaskan bahawa pelaburan dalam manusia adalah kunci untuk membentuk masa depan Malaysia dan menentukan apakah negara yang ingin dicapai untuk generasi akan datang. "Akhirnya, kekuatan sebuah negara bukan hanya pada sumber, infrastruktur atau kekayaan kewangan, tetapi juga pada ilmu pengetahuan, imaginasi, karakter dan ketabahan rakyatnya. "This is why Yayasan Khazanah matters," katanya dalam satu kenyataan. Amirul Feisal menyatakan bahawa pembangunan negara perlu melangkaui pertumbuhan ekonomi, dengan penekanan seimbang terhadap pembinaan masyarakat lebih inklusif dan progresif. "Under the Madani Economy, we speak of two ambitions that must go hand in hand: raising the floor and raising the ceiling. "Raising the floor means recognising that talent exists everywhere, but opportunities do not. Raising the ceiling means developing the depth of expertise and leadership that Malaysia needs to fulfil its aspirations," katanya.
Kini, pelajar YK telah menterjemahkan pengalaman akademik dan kepimpinan mereka kepada sumbangan dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, teknologi, tenaga boleh diperbaharui, kelestarian dan pembangunan komuniti. Antara alumni ialah pengasas bersama ProjectEd, Nelson Ng; ahli perunding kesihatan awam dan mental, Dr Rashidi Mohamed; pembangun teknologi bantuan, Dr Dahlila Putri Dahnil; serta ketua Gentari Renewable Energy Malaysia, Syed Malek Faisal Syed Mohamad. Turut tersenarai ialah Celine Lean Yew Lin, penyiasat pensijilan B Corp yang berpenglihatan kurang jelas, dan Dawn Scholastica Adrian, yang mempromosikan kelestarian melalui United Nations' Sustainable Development Solutions Network.
Bagi tempoh 2027-2046, YK telah mengenal pasti enam sektor tumpuan cadangan untuk membimbing program biasiswa selaras dengan keperluan pembangunan negara pada masa hadapan. Sementara itu, YK menghidupkan semula Khazanah Scholarship Alumni Association (KSAA) bagi mengumpulkan bekas pelajar daripada generasi dan latar belakang profesional berbeza. Melalui persatuan itu, alumni akan berkongsi pengetahuan, membina rangkaian profesional dan membimbing pelajar baharu, sambil berkongsi pengalaman untuk membantu memupuk bakat masa hadapan.
YK berkata ia komited untuk membangun pemimpin berdaya tujuan yang mampu memacu inovasi, memperkukuh institusi dan memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat.