Thailand bakal meterai MoU naik taraf rangkaian lebuh raya ASEAN
BANGKOK, 24 Nov — Thailand dijangka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menaik taraf Rangkaian Lebuh Raya ASEAN dan melancarkan pergerakan barangan serta penumpang merentas sempadan, selepas Kabinet meluluskan draf perjanjian itu pada Selasa.
Jurucakap kerajaan, Ploythalay Laksameesaengchan, berkata MoU mengenai Pembangunan Rangkaian Lebuh Raya ASEAN itu dijadualkan ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-32 di Tagaytay City, Filipina, dari 3 hingga 4 Disember.
Beliau berkata perjanjian itu bertujuan memodenkan rangkaian dengan menyelaraskan piawaian lebuh raya di seluruh ASEAN. Usaha itu juga diharap dapat menyokong perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pertukaran budaya serantau.
Kabinet turut memberi kuasa kepada Kementerian Pengangkutan untuk membuat pindaan terhadap draf MoU, dengan syarat perubahan itu tidak menjejaskan peruntukan substantif atau bercanggah dengan prinsip yang diluluskan Kabinet.
“Sebarang perubahan perlu dilaporkan kemudian kepada Kabinet, bersama alasan dan manfaatnya kepada Thailand,” kata Ploythalay dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kementerian berkenaan telah memberikan input terhadap draf itu melalui Kumpulan Kerja Kecil Lebuh Raya ASEAN (AHSWG). Thailand juga boleh melaksanakan pindaan berkenaan di bawah undang-undang dan peraturan sedia ada.
Di bawah MoU itu, pegawai pengangkutan ASEAN akan memantau pelaksanaan serta usaha menaik taraf piawaian lebuh raya melalui Kumpulan Kerja Pengangkutan Darat (LTWG) dan AHSWG, dengan penyelarasan Sekretariat ASEAN.
Penyelarasan piawaian merangkumi klasifikasi jalan, reka bentuk dan papan tanda. Rangkaian lebuh raya itu menghubungkan ibu negara serta bandar-bandar utama negara anggota ASEAN dengan pusat perindustrian dan pertanian, lapangan terbang, pelabuhan laut, pelabuhan sungai, terminal kontena dan gudang.
Ploythalay berkata perjanjian itu akan membantu menjadikan perjalanan darat merentas rantau ini lebih pantas, selamat dan lancar.