Wanita lebih ramai terjerat penipuan dalam talian – Saifuddin
KUALA LUMPUR - Golongan wanita dilaporkan lebih banyak menjadi mangsa penipuan dalam talian berbanding lelaki, dengan enam daripada setiap sepuluh mangsa jenayah itu terdiri daripada golongan berkenaan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata analisis profil mangsa juga mendapati majoriti individu terjerat adalah pekerja sektor swasta, dan trend jenayah ini dikatakan semakin meningkat berdasarkan data yang ada.
“(Berdasarkan) data ini, kita boleh rumuskan, trend jenayah ini semakin meningkat. (Analisis) profil mangsanya (pula menunjukkan golongan) wanita lebih ramai jadi mangsa daripada lelaki. Bagi setiap 10 mangsa, enam (daripadanya) wanita, (manakala) empat (lagi) lelaki. Dari segi profil pekerjaan, kebanyakannya pekerja swasta,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai perkembangan terkini usaha kerajaan membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai serta jumlah kerugian dialami rakyat sejak 2023. Ganabatirau turut meminta penjelasan mengenai jumlah wang yang berjaya dibekukan atau dipulangkan kepada mangsa serta langkah mempercepatkan pembekuan transaksi mencurigakan sebelum wang dipindahkan ke luar negara.
Saifuddin memaklumkan kesalahan membenarkan akaun bank digunakan sebagai akaun keldai pula banyak melibatkan golongan pelajar. Beliau berkata sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian direkodkan sejak 2023 hingga Oktober 2026 dengan jumlah kerugian sebanyak RM7.33 bilion. Tempoh yang sama, katanya, kerajaan telah menahan 75,266 individu dan sebanyak 69,665 pertuduhan telah dibuat. Ciri utama bagi sindiket yang memperdayakan mangsa ialah akaun keldai.
Menurut beliau, terdapat enam modus operandi penipuan dalam talian yang dikenal pasti melibatkan jenayah telekomunikasi, jenayah e-kewangan, penipuan cinta (love scam), jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud. Jelas beliau, jenayah telekomunikasi mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 73,043 kes dengan kerugian RM2.132 bilion, diikuti jenayah e-dagang sebanyak 50,749 kes membabitkan kerugian RM509 juta. Pelaburan tidak wujud mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM3.4 bilion meskipun jumlah kes yang direkodkan sebanyak 27,863.
“Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, sebanyak 56,802 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian RM1.56 bilion. Dalam tempoh sama, seramai 20,842 individu ditangkap, manakala 17,985 kertas siasatan melibatkan 18,369 individu telah dituduh,” kata beliau.
Mengulas usaha menyelamatkan wang mangsa, Saifuddin berkata kepantasan mangsa membuat laporan merupakan faktor penting dalam usaha menyekat transaksi kewangan sindiket. Menurutnya, sindiket mampu memindahkan wang mangsa menerusi beberapa lapisan akaun sebelum mengeluarkannya dalam tempoh hanya lima minit. “Kalau kita hendak selamatkan (wang mangsa), dalam (tempoh) masa inilah, sebab itu, panggilan pertama (daripada) mangsa sangat penting,” jelas beliau.
Beliau juga berkata laporan segera membolehkan pihak polis mengambil tindakan mengesan dan menyekat akaun terbabit melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM).