Penemuan buaya di Sungai Klang tarik perhatian netizen, PERHILITAN jalankan semakan

Kuala Lumpur: Penemuan buaya di Sungai Klang menarik perhatian ramai selepas video reptilia itu dirakam oleh beberapa individu sebelum ditularkan di media sosial. Video berkenaan dikongsikan di platform Threads oleh pengguna dengan nama epilogkehidupan94 yang menyertakan keterangan berunsur gurauan.
Dalam tulisan kapsyen berkenaan, pengguna itu menyebut "Gorgon (buaya) Sungai Klang. Laki siapa ini, kutip bawa balik." Tinjauan di ruang komen menunjukkan pelbagai reaksi daripada netizen, ada yang menyangka video itu adalah suntingan kecerdasan buatan (AI). Seorang pengguna lain yang menggunakan nama alifafiq141 berkata, ramai yang menganggap ia AI, sedangkan pihak berkuasa telah meletakkan papan tanda gambar buaya dengan amaran sepanjang Sungai Klang dan Damansara ke Kuala Lumpur.
Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai aktiviti pemancing di kawasan terbabit. Seorang pengguna bernama hafizbeanrahman berkata sungai itu menjadi antara lokasi tumpuan kaki pancing, terutamanya ketika cuti sekolah Disember, apabila ramai pelajar datang memancing di benteng Sungai Klang. Seorang lagi pengguna dengan nama ikinjer menyatakan bahawa memang ada dua atau tiga buaya di kawasan itu dan berkongsi pengalaman melihat buaya berenang di Kika Cafe berhampiran lokasi penemuan.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kuala Lumpur ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihaknya sudah membuat semakan dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan setakat ini tidak menerima sebarang aduan awam berhubung penemuan buaya di Sungai Klang.