Peguam dua anggota polis dilarang keluarkan kenyataan luar mahkamah dalam kes moh dh Shuhaily
SEPANG - [DIKEMAS KINI] Peguam yang mewakili dua anggota polis yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, antara pihak yang dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu di luar mahkamah, menurut ketetapan mahkamah. Larangan turut melibatkan peguam daripada Tetuan Kamal Hisham & Associates, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin. Mereka bertindak sebagai peguam pemerhati bagi kedua-dua anggota polis yang terbabit sebagai pengadu, manakala perintah turut terpakai terhadap pihak pendakwaan, Mohd Shuhaily selaku OKS, barisan peguam bela serta kedua-dua anggota polis berkenaan.
Majistret, Khairatul Animah Jelani memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan pihak pembelaan terhadap pegawai kanan polis berusia 54 tahun itu. Semasa sebutan kes mendatangkan kecederaan, beliau berkata mahkamah telah meneliti permohonan, hujahan kedua-dua pihak, afidavit serta ekshibit yang dikemukakan. Beliau turut mengambil kira pendirian pihak pendakwaan yang tidak membantah permohonan tersebut sebelum membenarkan perintah berkenaan dikeluarkan terhadap pihak-pihak dinamakan dalam notis usul.
Ketika hujahan, peguam Kitson Foong yang mewakili Mohd Shuhaily memaklumkan bahawa pihak pembelaan memfailkan notis usul bagi mendapatkan perintah berkenaan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa. Beliau berkata, larangan itu hanya melibatkan lima pihak yang dinamakan dan tidak terpakai kepada orang awam mahupun pihak media. Menurutnya, permohonan itu bertujuan mengelakkan sebarang kenyataan di luar mahkamah yang boleh menjejaskan prosiding perbicaraan.
“Perintah ini mempunyai had masa dan akan luput sebaik sahaja kes selesai dibicarakan. Permohonan sekatan ini bukan bermaksud mahu menghalang pihak lawan sahaja daripada membuat kenyataan awam, sebaliknya OKS dan barisan peguam sendiri turut terikat dengan larangan sama,” katanya. Selain Kitson, barisan pembelaan turut diwakili Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Datuk Yaacob Md Sam, Md Yunos Shariff, Badruzzaman Ishak, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Akberdin Abdul Kader.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan. Beliau berpandangan mahkamah perlu memastikan tiada sebarang perkara yang boleh menjejaskan perjalanan perbicaraan kes dan turut menegaskan pihak pendakwaan tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh mempersoalkan atau memprejudiskan prosiding berkenaan. Beliau hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis. Kesalahan itu didakwa berlaku di kaunter Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara jam 1.27 hingga 1.35 petang pada 28 September lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan sama, Shahrizat memohon supaya kedua-dua pertuduhan dibicarakan bersama atas alasan membabitkan OKS dan saksi yang sama. Permohonan itu tidak dibantah pihak pembelaan sebelum dibenarkan mahkamah yang menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan semula kes. Mohd Shuhaily juga masih Ketua Pengarah AKPS, demikian kenyataan berkait rapat dengan kes itu. Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!