Uqasha Senrose persoal tindakan Kamal Adli, henti ungkit kisah lalu

Kuala Lumpur: Pelakon Uqasha Senrose, 33, meluahkan rasa kecewa dan mempersoalkan tindakan bekas suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli apabila didakwa masih mengungkit kisah lama antara mereka. Beliau membuat kenyataan menerusi hantaran di Threads, memohon agar peristiwa berkenaan tidak diungkit lagi memandangkan ia sudah lama berlalu dan dia sendiri tidak pernah menggunakan kisah tersebut untuk meraih simpati.
Dalam hantaran itu, Uqasha mendakwa tidak perlu lagi menceritakan kejadian masa penggambaran. "Allahuakbar, rasanya tak perlu nak cerita kejadian masa penggambaran. Benda sudah lepas lama dan saya pun sikit tak sentuh nak buat orang simpati ke apa. Untuk apa?," tulisnya. Beliau turut berkata bahawa selepas bercerai dia tidak menyentuh isu tersebut dan menegaskan setiap manusia ada waktu down, namun tidak pernah berniat berkongsi kisah untuk mendapat simpati. "Sudahlah, saya dah tak sentuh langsung dah selepas bercerai. Ikutkan setiap manusia ada waktu 'down' dia, tapi pernah ke saya nak kongsi? Sikit-sikit nak kongsi nak orang kasihan ke? Sudahlah," tambahnya.
Tinjauan di ruang komen menunjukkan segelintir pengikut menggesa Uqasha tidak melayan perkara berkenaan. Balas Uqasha menyatakan sebagai manusia biasa dia turut mempunyai perasaan, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan perbandingan daripada pihak lain. "Kenapa setiap masa nak kena cerita lagi dan lagi dan lagi? Awak seorang ke ada perasaan sedih? Saya tak ada perasaan ke dengan orang tak habis-habis masih lagi nak banding-bandingkan? "Saya juga manusia biasa, tapi pernah ke selepas bercerai, saya keluarkan apa-apa kenyataan untuk orang rasa kasihan kepada saya?" kongsinya.
Sementara itu, Kamal mengimbau kenangan ketika terus meneruskan penggambaran filem Takluk 2: OP Daulat walaupun melalui fasa sukar selepas berpisah dengan Uqasha pada awal tahun ini. Pihaknya, Kamal, 40, berkata pada hari kejadian dia tidak sempat pulang berjumpa keluarga, sebaliknya terus memandu ke Kuantan, Pahang bagi menyambung semula penggambaran. Rumah tangga pasangan selebriti itu akhirnya berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu pada 12 Januari lalu.