Ugut tumbuk hingga pecah muka, lelaki didenda RM4,500
MELAKA - Seorang lelaki didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Rabu kerana mengugut mahu menumbuk mangsa sehingga pecah muka, serta sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di Pulau Besar, Ahad lalu.
Tertuduh, Mohd Shamsuri Mohd Norman, 52, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki. Pengakuan itu dibuat selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa berusia 52 tahun dengan niat menakutkan secara jenayah, iaitu: "Kalau kau buat lagi, aku pukul kau, aku tak peduli siapa kau, aku boleh tumbuk pecah muka kau", kejadian didakwa berlaku sekitar jam 3.30 petang di kawasan tepi laut, Pulau Besar.
Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi dan waktu yang sama. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah, dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan, membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, serta penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali bagi pertuduhan kedua.
Berdasarkan fakta kes, kejadian bermula apabila tertuduh datang menemui mangsa yang sedang berada di sebuah kedai makan sebelum membawa mangsa ke kawasan tepi laut. Tertuduh kemudian memegang bahagian kolar baju dan leher mangsa serta menolak muka mangsa beberapa kali, sambil mengeluarkan kata-kata ugutan dengan niat menakutkan mangsa. Mangsa membuat laporan polis sebelum pemeriksaan perubatan mengesahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian leher.
Menurut pihak mahkamah, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang didakwa mengganggu isteri tertuduh. Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan dan pekerjaan tetap serta menanggung orang tuanya. Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau penjara lapan bulan bagi kedua-dua pertuduhan.