Tubuh kecil, jiwa besar Syaiful

Sumber: Harian Metro
Tubuh kecil, jiwa besar Syaiful
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Meskipun tubuhnya mungkin tampak lebih kecil berbanding pemain lawan, di sebalik susuk sederhana bintang muda negara, Muhammad Syaifullah Mahruzi, tersembunyi keberanian dan jiwa besar. Penampilan Syaiful dalam kempen kelayakan B-16 negara menyaksikan namanya menjadi sebutan meskipun skuad bawah 16 tahun (B-16) gagal ke Piala Asia B-17 2027, dengan kelincahan serta ketangkasannya menghadapi lawan bertubuh lebih besar sepanjang kempen kelayakan baru-baru ini.

Produk Akademi Mokhtar Dahari itu turut mengidolakan Lionel Messi dan Arif Aiman Hanapi dalam mengejar cita-cita bergelar pemain bola sepak. Syaiful menjelaskan Messi dan Arif Aiman telah membuktikan bahawa walaupun memiliki fizikal kecil, aksi mereka di atas padang mampu mengundang rasa gerun daripada pihak lawan yang lebih besar. "Idola saya adalah Messi dan kalau dalam Malaysia, Arif Aiman. Pencapaian dan corak permainan mereka memberikan inspirasi kepada saya untuk terus mengembangkan karier dalam bola sepak," katanya.

Walaupun usianya masih muda, Syaiful sebenarnya telah melalui perjalanan pahit berkaitan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL). Menurutnya, kecederaan itu berlaku ketika latihan di Croatia pada tahun lalu yang menyebabkan dia berehat panjang selama sembilan bulan sebelum kembali ke padang pada September lalu. "Sebenarnya saya sudah lama tidak bermain bola. Saya mula kembali pada September lalu sebab baru pulih daripada kecederaan ACL. Saya bersyukur kerana saya kembali bangkit dan semua itu atas doa serta semangat semua pihak terutama ibu bapa, jurulatih dan pegawai fisioterapi," tambahnya.

Dalam kempen kelayakan Kumpulan E sebelum ini, Syaiful menjadi tonggak harapan skuad kendalian Shukor Adan apabila diletakkan sebagai pemain utama dalam keempat-empat perlawanan Harimau Malaya B-16 menentang Palestin, Singapura, Guam dan India. Peranan itu membuktikan keyakinan pihak jurulatih terhadap kebolehan pemain muda berkenaan dalam menghadapi cabaran dengan fizikal lawan yang lebih besar.

Bapa Syaifullah, Mahruzi Mohamed, 53, berkongsi kronologi perjalanan karier anaknya ke arah profesional. Bermula pada usia tujuh tahun apabila menyertai Akademi Tunas sebelum terpilih ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bermula Tingkatan Satu, perjalanan itu diharap menjadi landasan untuk kejayaan lebih besar pada masa hadapan. "Memang dia ada potensi dan bakat. Jurulatih dan cikgu dia sebelum ini pun kata budak ini ada bakat. Saya bangga tengok dia beraksi untuk negara dan hati dia memang berani walaupun baru lepas pulih daripada ACL, kita pula jadi takut. Tidak perlu fikir soal fizikal, saya harap semoga dia berjaya dalam kariernya dan melangkah lebih jauh hingga ke peringkat skuad senior Harimau Malaya pada masa akan datang," katanya.

Profil Nama: Muhammad Syaifullah Mahruzi Umur: 16 tahun Asal: Tanah Merah, Kelantan Sekolah: Sekolah Sukan Malaysia Pahang Akademi: Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Pasukan kebangsaan: Skuad B-16 Posisi: Tengah, sayap Nombor jersi: 13