Trump dakwa perang Iran dibiayai hingga Januari, gesa Demokrat tidak hentikan operasi

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata operasi ketenteraan negaranya terhadap Iran mempunyai pembiayaan yang mencukupi sehingga penghujung Januari depan dan memberi amaran bahawa cubaan Parti Demokrat untuk menghentikan konflik itu boleh mengubah kemenangan mutlak menjadi kekalahan. Beliau membuat kenyataan itu dalam wawancara dengan New York Post, sambil mengakui pilihan ketenteraannya mungkin menjadi lebih terhad apabila Demokrat mengambil alih kawalan Kongres pada Januari.
Trump turut menyatakan harapannya agar parti pembangkang tidak memaksa penamatan perang yang dianggapnya terlalu awal. Beliau menegaskan bahawa “Mereka akan mengambil kemenangan mutlak dan menjadikannya kekalahan. Tentera laut mereka sudah musnah, tentera udara mereka sudah musnah, sistem pertahanan udara mereka juga sudah musnah. Kepimpinan mereka juga sudah tiada.” Beliau menambah bahawa AS berada dalam kedudukan yang membolehkan konflik itu ditamatkan pada bila-bila masa yang dikehendaki.
Dalam wawancara yang sama, Trump turut menilai matlamat Israel terhadap Iran dengan menyatakan usaha untuk menamatkan pemerintahan Republik Islam itu “mungkin boleh dilakukan”, tetapi beliau menegaskan perubahan rejim bukan objektif utama pentadbirannya sambil menekankan bahawa beliau tidak mahu Iran memiliki senjata nuklear. “Saya tidak pernah menyokong atau menentang perubahan rejim, itu bukan kriteria bagi saya,” katanya.
Kenyataan Trump muncul ketika konflik antara AS, Israel dan Iran terus menjadi tumpuan antarabangsa, dengan perdebatan semakin memuncak mengenai tempoh serta hala tuju operasi ketenteraan di rantau Asia Barat itu.