Transformasi digital Sabah perlu pacu agenda pembangunan SMJ

KOTA KINABALU: Transformasi digital Sabah perlu menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada perasmian Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026 di sini hari ini.
Hajiji berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun. Beliau berkata kemajuan teknologi perlu membuka lebih banyak peluang, meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan taraf hidup rakyat, selain membantu pengurusan sumber asli Sabah secara cekap dan mampan.
“Pendigitalan tidak seharusnya dilaksanakan secara berasingan daripada pembangunan. Sebaliknya, ia perlu membantu kita melaksanakan pembangunan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata keutamaan transformasi digital negeri merangkumi infrastruktur dan kesalinghubungan digital, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, kerajaan digital, keselamatan siber, inovasi dan pembangunan bakat. Tumpuan turut diberikan kepada keterangkuman digital luar bandar serta perdagangan digital rentas sempadan.
Menurut Hajiji, penggunaan AI perlu menjurus kepada penyelesaian masalah sebenar, termasuk meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan, serta memperkukuh perancangan berasaskan maklumat dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Beliau berkata keterangkuman digital memerlukan bekalan elektrik stabil, perkhidmatan mampu milik, peranti bersesuaian dan kemahiran praktikal. Rakyat juga perlu yakin menggunakan teknologi dengan selamat supaya tiada yang tercicir daripada kemajuan digital.
Golongan muda, katanya, perlu dilengkapi kemahiran untuk menjadi pencipta, tenaga profesional dan usahawan. Usaha itu memerlukan kerjasama lebih erat antara sekolah, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti termasuk Universiti Malaysia Sabah serta pihak industri.
Kerajaan negeri juga akan terus memudah cara pelaburan dan menggalakkan penglibatan industri dalam kerjasama strategik, bagi mengembangkan bakat tempatan, memperkukuh perusahaan serta membawa pengetahuan dan teknologi ke Sabah.