Tiada perancangan bubar DUN Pahang setakat ini

Sumber: Astro Awani
Tiada perancangan bubar DUN Pahang setakat ini
Gambar: Astro Awani

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata tiada perancangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). Beliau berkata demikian pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

“Belum ada apa-apa perancangan setakat hari ini,” katanya ringkas ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) mengenai kemungkinan DUN dibubarkan.

Tuan Ibrahim bertanya susulan kenyataan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memberi bayangan persidangan kali ini mungkin menjadi yang terakhir bagi mereka. Beliau mencelah perbahasan Belanjawan Pahang 2027 oleh Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (BN-Inderapura).

Shafik Fauzan berkata persidangan itu merupakan “hari-hari akhir” beliau sebagai wakil rakyat Inderapura, yang disandang selama 22 tahun sejak 2004. Beliau turut menyatakan hasrat untuk tidak bertanding bagi kerusi DUN Inderapura pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Dalam perkembangan berasingan, Tuan Ibrahim berkata belum ada perbincangan rasmi mengenai agenda pemuafakatan bersama Barisan Nasional (BN) Pahang. Beliau berkata pimpinan Pas di setiap negeri telah diarahkan mengadakan pertemuan di semua peringkat bagi meneroka agenda penyatuan ummah.

“Belum lagi… kita merisik dulu,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sebelum ini, BN dilaporkan tidak mahu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya di negeri lain meskipun mencatat momentum positif dalam beberapa PRN, termasuk di Melaka. Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan mengenai perkara itu diserahkan kepada pemimpin negeri masing-masing untuk menilai kesesuaian mengadakan pilihan raya.