Tashima janji hanya berkhidmat sepenggal jika menang pemilihan FIFA

TOKYO: Calon Presiden Persekutuan Bolasepak Jepun (JFA), Kozo Tashima, berjanji hanya akan memegang jawatan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selama satu penggal, iaitu empat tahun, jika berjaya menewaskan penyandangnya, Gianni Infantino, dalam pemilihan pada Mac tahun depan.
Tashima, 69, berkata beliau mahu menggunakan tempoh itu untuk membawa perubahan kepada tadbir urus FIFA, terutama dalam proses membuat keputusan yang disifatkannya perlu lebih telus. Beliau mengumumkan hasrat mencabar Infantino bulan ini susulan beberapa kontroversi membabitkan kepimpinan badan induk bola sepak dunia itu.
Antara isu yang disebut ialah percubaan menjual pegangan dalam beberapa kejohanan, termasuk Piala Dunia, yang tidak berjaya. Tashima berkata manifesto pencalonannya masih disediakan, namun pembaharuan terhadap sistem tadbir urus FIFA sudah dikenal pasti sebagai antara keutamaannya.
“Berhubung pencalonan ini, saya ingin menyatakan bahawa walaupun berjaya, saya hanya bercadang memegang jawatan Presiden untuk satu penggal selama empat tahun,” katanya menerusi penterjemah pada sidang media di Tokyo.
Beliau turut menegaskan hasrat memberi tumpuan kepada perubahan dalam tadbir urus, khususnya proses membuat keputusan, selain memastikan ketelusan yang lebih baik.
Pemilihan Mac tahun depan bakal menjadi ujian pertama buat Infantino sejak beliau memenangi jawatan itu pada 2016. Infantino sebelum ini dipilih tanpa bertanding sebanyak dua kali, pada 2019 dan 2023.
Selain Tashima dan Infantino, Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis, Philippe Diallo, turut mengumumkan pencalonan dengan sokongan badan induk bola sepak Eropah, UEFA. Diallo sebelum ini menyatakan hasrat mengadakan perbincangan dengan Tashima bagi menyatukan kekuatan dan mengelakkan undi penentang Infantino berpecah.
Tashima mengesahkan beliau sudah berbual melalui telefon dengan Diallo dan berharap dapat bertemu secara bersemuka dengannya di Eropah dalam masa terdekat. Katanya, kedua-dua pihak mempunyai hala tuju yang hampir sama untuk membawa perubahan kepada FIFA, tetapi perbincangan lanjut diperlukan bagi menilai kesesuaian strategi masing-masing. Matlamat utama, katanya, adalah untuk mengembalikan FIFA ke landasan yang sepatutnya.
Sejak ditubuhkan pada 1904, FIFA mempunyai sembilan presiden. Enam daripada mereka berkhidmat lebih 10 tahun, manakala Jules Rimet dari Perancis memegang jawatan paling lama, iaitu 33 tahun dari 1921 hingga 1954. Pada 2015, FIFA memperkenalkan pembaharuan susulan skandal rasuah membabitkan beberapa pegawai tertinggi dan menetapkan tempoh perkhidmatan Presiden maksimum 12 tahun.