AGC bantah cabaran kehakiman terhadap perintah tahanan rumah Najib

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) berpendirian keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai perintah tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak boleh dicabar di mahkamah. Pendirian itu dibangkitkan ketika pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 12 November lalu.
AGC berkata, pihaknya membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran mencabar perintah berkenaan. Menurut jabatan itu, keputusan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan itu akan didengar pada 17 Mac 2027. “Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil,” menurut kenyataan AGC.
Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar perintah tahanan di rumah yang dititahkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64.
Pada 10 November lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan di rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
Najib selesai membayar denda RM50 juta dalam kes penyelewengan dana SRC International pada 6 November lalu. Pembayaran itu antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September lalu. Pengampunan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.