Syabu lebih RM5 juta dirampas, cubaan seludup ke negara jiran gagal

Sumber: Harian Metro
Syabu lebih RM5 juta dirampas, cubaan seludup ke negara jiran gagal
Gambar: Harian Metro

Georgetown: Polis Marin berjaya menggagalkan cubaan menyeludup syabu ke negara jiran selepas merampas 103.798 kilogram bahan terlarang bernilai RM5.19 juta dalam operasi di perairan Kedah pada 14 November lalu. Selain rampasan syabu, polis turut merampas sebuah bot gentian kaca dan Toyota Hilux, menjadikan jumlah nilai rampasan berjumlah RM5.36 juta. Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata operasi dikenali sebagai Op Taring Gelora bermula pada 9 malam selepas risikan mendapati sindiket menggunakan bot gentian kaca untuk menyeludup syabu ke negara jiran. Katanya, sepasukan anggota terdiri daripada seorang pegawai dan 18 anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, dengan sokongan Unit Risikan Marin serta bot peronda PSC 45, PSC 60 dan PIB 01, mengesan bot mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Sayak, Tanjung Dawai. Apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, bot berkenaan memecut dan melakukan beberapa pergerakan berbahaya bagi mengelak ditahan. Bagaimanapun, pasukan kami berjaya memintas bot itu pada jam 10.30 malam selepas mengejarnya selama 90 minit dan menahan dua lelaki warga Indonesia di dalamnya, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPM Wilayah Satu, di sini. Hadir sama, Komander PPM, Senior Asisten Komisioner Shamsol Kassim dan Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar.

Mohd Yusri berkata, pemeriksaan fizikal mendapati lima guni putih mengandungi 100 bungkusan plastik berwarna keemasan berlabel 'VIP 666' yang mengandungi syabu seberat 103.798kg, dengan nilai RM5,189,900. Risikan susulan pada keesokan harinya membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, yang menyaksikan seorang lelaki tempatan dan seorang lagi lelaki warga Indonesia ditahan. Suspek tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sendiri dan mengusahakan kedai runcit dipercayai dalang yang merancang serta menyelaras penghantaran dadah berkenaan, selain menawarkan bayaran RM12,000 bagi setiap perjalanan kepada pengangkut. Walaupun ketiga-tiga suspek warga Indonesia mempunyai pasport sah, mereka dipercayai mengelak pintu masuk rasmi untuk menjalankan kegiatan di laut, katanya. Dadah itu dipercayai diperoleh dari dalam negara sebelum dihantar untuk diedarkan di negara jiran, manakala jumlah rampasan berkenaan dianggarkan mampu membekalkan dadah kepada 518,990 penagih.

Kejayaan ini memberi tamparan besar kepada rantaian bekalan rentas sempadan sindiket berkenaan. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjadikan perairan negara sebagai laluan transit penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan, katanya. Beliau berkata polis bekerjasama rapat dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah bagi mengesan pembekal, pembiaya serta baki anggota sindiket yang masih bebas. Mohd Yusri berkata, sepanjang Januari hingga November tahun ini, PPM Wilayah Satu merekodkan 151 kes mengikut Akta Dadah Berbahaya dengan 180 tangkapan dan nilai rampasan RM11.96 juta. Secara keseluruhan, pasukan itu merekodkan 2,375 kes dengan 1,462 tangkapan serta nilai rampasan melebihi RM187.99 juta menerusi semua operasi penguatkuasaan dalam tempoh sama. Katanya, keempat-empat suspek berusia antara 31 hingga 36 tahun disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.