Suhu malam lebih panas dikaitkan dengan daya ingatan lemah warga emas - Kajian

SYDNEY: Suhu malam yang lebih panas dikaitkan dengan daya ingatan yang lebih lemah dalam kalangan individu pertengahan usia dan warga emas, hasil kajian yang dijalankan di Australia oleh Universiti Newcastle dan Institut Penyelidikan Perubatan QIMR Berghofer, menurut laporan Xinhua. Kajian yang melibatkan 1,873 peserta berusia antara 42 hingga 75 tahun itu mendapati hubungan antara suhu malam yang lebih panas dengan prestasi ujian ingatan asosiatif yang lebih rendah.
Kajian itu menunjukkan bahawa suhu malam yang lebih panas secara konsisten dikaitkan dengan prestasi yang kurang baik dalam ujian ingatan asosiatif berbanding fungsi kognitif lain. Ingatan asosiatif merangkumi keupayaan mempelajari, menyimpan dan mengingat hubungan antara perkara yang tidak berkaitan, seperti mengingati lokasi kunci atau mengaitkan wajah seseorang dengan namanya.
Penulis kajian, Anna Behler dari Universiti Newcastle, menyatakan kajian itu menekankan perkaitan antara iklim, penuaan dan kesihatan otak serta keperluan penyelidikan lanjut mengenai bagaimana peningkatan suhu boleh menjejaskan kesihatan otak seiring dengan peningkatan usia. Peserta kajian menjalani 12 ujian kognitif dalam talian bagi menilai pelbagai aspek fungsi kognitif seperti ingatan, bahasa, perhatian, penaakulan dan kemahiran penyelesaian masalah, dan hanya ingatan asosiatif yang menunjukkan kaitan yang signifikan dengan suhu pada waktu malam.
Kajian ini juga menekankan kemungkinan gangguan tidur akibat kepanasan sebagai satu penjelasan munasabah, memandangkan tidur memain peranan penting dalam pengukuhan ingatan. Renate Thienel dari Universiti Newcastle ialah penulis bersama kajian tersebut dan menegaskan bahawa kajian lanjut diperlukan bagi menentukan sama ada kesan ini bersifat sementara atau berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan otak serta risiko demensia sekiranya terdedah kepada suhu malam yang lebih panas berulang kali.