Sterling dihukum penjara gantung, lesen memandu digantung dua tahun

LONDON: Bekas pemain sayap England, Raheem Sterling, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan yang digantung selama 18 bulan selepas mengaku memandu secara berbahaya ketika di bawah pengaruh nitrous oxide. Mahkamah Majistret Basingstoke turut mengarahkannya menjalani 100 jam kerja khidmat masyarakat tanpa bayaran dan melarangnya memandu selama dua tahun.
Hakim Kirsty Allman berkata tindakan Sterling menunjukkan sikap tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain secara sedar. Pemain berusia 31 tahun itu dilaporkan memandu secara tidak menentu di lebuh raya M25 dan M3 di selatan England ketika waktu sibuk pagi pada 28 Mei lalu.
Rakaman kamera papan pemuka menunjukkan kereta Lamborghini miliknya menukar lorong secara berbahaya dan hampir melanggar pembahagi jalan di tengah lebuh raya M3. Seorang saksi yang menghubungi polis menyifatkan pemanduan Sterling sebagai “sangat teruk” dan mendakwa pemain itu menyedut gas daripada belon besar yang menutupi sebahagian besar pandangannya terhadap jalan raya.
Selepas keluar dari lebuh raya, kereta itu melanggar papan tanda di tepi jalan dan mengalami kerosakan teruk. Hakim Allman berkata kenderaan berkenaan tidak lagi boleh dipandu. Tiada kenderaan lain terbabit dan tiada individu cedera.
Polis menemui Sterling di tempat duduk penumpang kereta itu sambil memegang dua bekas nitrous oxide. Dia kemudian memberitahu polis bahawa dia mempunyai “masalah dengan nitrous oxide”.
Sterling, yang beraksi bersama kelab Belanda, Feyenoord pada musim lalu, mengaku bersalah pada September atas pertuduhan memandu secara berbahaya, memiliki nitrous oxide dan gagal memberikan sampel darah. Dia pernah memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City dan membuat 82 penampilan untuk England.
Peguamnya, Jason Bartfeld, berkata Sterling mula mengambil nitrous oxide ketika melalui tempoh sukar dalam kariernya. “Dia menyedari pelbagai mekanisme menangani tekanan yang tidak sihat... yang membawa kepada kesalahan ini,” katanya.