Speedy Tigress benam Thailand 4-0, mara ke separuh akhir
KUALA LUMPUR, 25 Nov — Skuad hoki wanita kebangsaan menempah tempat ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2026 selepas menamatkan kempen pusingan liga dengan kemenangan 4-0 ke atas Thailand di Bhopal, India, hari ini.
Kemenangan dalam perlawanan terakhir pusingan liga itu menyaksikan Malaysia mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, dua kekalahan dan satu keputusan seri daripada lima perlawanan. Kutipan tersebut memastikan pasukan negara berada dalam kelompok empat pasukan teratas.
Malaysia menghasilkan kebangkitan cemerlang pada penghujung perlawanan apabila menjaringkan kesemua empat gol dalam beberapa minit terakhir. Nuramirah Syakirah Zulkifli membuka jaringan menerusi gol padang pada minit ke-55.
Nur Afiqah Syahzani Azhar kemudian menggandakan kelebihan Malaysia seminit selepas gol pertama. Nuramirah Syakirah sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-60, sebelum Nur Afiqah Syahzani menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit sama untuk melengkapkan kemenangan.
Keputusan itu meletakkan Malaysia di tangga keempat kedudukan pusingan liga dan mengesahkan kemaraan ke separuh akhir pada Jumaat. Pasukan kebangsaan akan berdepan sama ada India atau Jepun, bergantung pada keputusan perlawanan terakhir kedua-dua pasukan itu hari ini.