Malaysia tewas 1-3 kepada Jepun dalam Trofi Juara-Juara Asia

KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita Malaysia tewas 1-3 kepada Jepun dalam perlawanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Kompleks Sukan Antarabangsa Nathu Barkheda, Bhopal, India, pada Selasa. Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Malaysia dalam empat perlawanan, sekali gus meletakkan pasukan di tangga keempat kedudukan.
Pasukan bimbingan CR Kumar kini perlu menewaskan Thailand esok untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas dan melayakkan diri ke separuh akhir. Malaysia, yang berada di ranking ke-21 dunia, memberi saingan sengit kepada Jepun, pasukan ke-12 dunia, dalam dua suku pertama.
Jepun, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Aichi-Nagoya bulan lalu, membuka jaringan menerusi Maruyama Niko pada minit ke-32. Malaysia kemudian beraksi dengan sembilan pemain pada minit ke-50 selepas Nurmaizatul Syafi dilayangkan kad kuning kerana melakukan kesalahan, manakala Khairunnisa Ayuni Sharuddin menerima kad hijau.
Bagaimanapun, Malaysia menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Azmyra Mia Sofea Azhari. Jepun kembali mendahului pada minit ke-52 melalui Tanaka Kokona sebelum Hiramitsu Ai menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-58.
Kumar berkata, kekurangan pemain pada suku keempat memberi tekanan besar kepada pasukannya. “Sangat sukar bermain di peringkat antarabangsa dengan sembilan pemain. Saya berharap pemain dapat pulih dengan cepat untuk beraksi baik menentang Thailand,” katanya.