Speedy Tigers perlu segera baiki kelemahan elak dihukum Pakistan

Ipoh: Speedy Tigers perlu memperbaiki kelemahan mengurus bola di kawasan kritikal bagi mengelak terus dihukum lawan menjelang aksi penting menentang Pakistan dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-32. Ketua jurulatih Malaysia, Brendon Carolan berkata, pertahanan ketika berdepan serangan balas turut perlu diberi perhatian selepas skuad negara tewas 2-4 kepada Australia di Stadium Hoki Azlan Shah, di sini, malam tadi.
Beliau menegaskan kehilangan bola di tiga atau empat kawasan kritikal boleh mengundang padah apabila berhadapan pasukan yang memiliki keupayaan serangan balas pantas seperti Pakistan. "Kami perlu lebih baik dalam pertahanan serangan balas, memastikan sekatan berada di tempatnya serta menguruskan bola dengan lebih baik. "Jika kehilangan bola di tiga atau empat kawasan kritikal ketika menentang pasukan seperti mereka, kami akan dihukum," katanya.
Brendon Carolan juga mengulas kekalahan kepada Australia yang menamatkan rentetan tiga kemenangan berturut-turut Malaysia. Beliau mengakui keputusan itu adil, namun menyifatkan persembahan anak buahnya lebih baik berbanding aksi terdahulu menentang Amerika Syarikat (AS). Katanya, Malaysia berdepan kesukaran apabila Australia memperoleh dua gol awal menerusi kemasukan pertama ke kawasan D dan pukulan sudut penalti pertama pasukan kangaroo terbabit.
Dalam pada itu, jurulatih kelahiran negara itu berpuas hati dengan kebangkitan pemain negara yang berjaya memberikan tentangan meskipun berdepan tekanan pasukan lawan. Keadaan itu diharap memberi tonik kepada barisan hadapan sebelum menghadapi Pakistan dalam kempen PSAS ke-32.