Soma singkap luka tersembunyi melalui lagu NPD

Tampil dengan pendekatan berbeza dan sarat mesej kesedaran, penyanyi berbakat besar, Soma mempertaruhkan buah tangan terbaharunya berjudul NPD. Single ketiga itu mengetengahkan isu kesihatan mental, khususnya mengenai impak Narcissistic Personality Disorder (NPD) dalam masyarakat. Naskhah ini dihasilkan daripada gubahan komposer berkaliber, Belle Fatah, manakala bait-bait liriknya ditulis sendiri oleh Soma. Bukan sekadar karya hiburan semata-mata, NPD hadir sebagai naskhah kesedaran yang menawarkan nasihat, sokongan moral serta jalan keluar bagi berdepan kemelut psikologi berkenaan bagi membentuk masyarakat yang lebih sihat dan tinggi nilai empati. Meneruskan kesinambungan daripada album mini (EP) berjudul Perjalanan yang dilancarkan pada 26 Disember 2024, NPD menyusuli dua single terdahulunya iaitu Aku Tetap Raya dan Bila Tahmid Bergema. Bagi Soma, naskhah Perjalanan menyimpan nilai sentimental yang cukup tinggi dalam lipatan sejarah muzik tanah air memandangkan ia menghimpunkan karya terakhir sentuhan maestro muzik tersohor, Allahyarham Datuk S Atan yang menghembuskan nafas terakhir pada November 2024. Pengiktirafan itu sekali gus meletakkan Soma sebagai artis terakhir yang diberi penghormatan menyanyikan lagu ciptaan Allahyarham sebelum pemergiannya. Lebih istimewa, pembikinan NPD turut diperkasakan oleh barisan pemuzik legenda tanah air apabila menggabungkan sentuhan melodi Belle Fatah bersama petikan dan paluan pemuzik hebat seperti Man Keedal, Eddie Def Gab C serta Lola XPDC.
"Saya sangat dekat dengan NPD dan isu kesihatan mental, terutama gangguan personaliti narsisistik, sering berlaku dalam masyarakat tetapi jarang dikupas dalam bentuk karya lagu. Melalui lirik yang saya tulis, saya berharap dapat memberi kesedaran tentang kesannya kepada mangsa dan masyarakat, di samping memberikan kekuatan serta cara untuk mengatasinya," ujar Soma. Ditambah pula dengan sentuhan melodi Belle Fatah dan aura pemuzik hebat seperti Man Keedal, Eddie Def Gab C, Lola XPDC serta Belle sendiri, beliau berharap lagu ini dapat menyentuh jiwa pendengar.