Sokongan psikologi bantu Hafizuddin hadapi fasa pemulihan

Sumber: Astro Awani
Sokongan psikologi bantu Hafizuddin hadapi fasa pemulihan
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Sokongan psikologi berterusan diberikan kepada atlet angkat berat kebangsaan Muhammad Hafizuddin Roslin bagi membantunya mengharungi fasa penerimaan selepas kehilangan tangan kanan dalam kemalangan motosikal bulan ini.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, berkata pakar psikologi sukan Nor Azura Mat Nasir mula memberikan sokongan sejak hari kedua selepas kejadian dan terus hadir setiap hari bagi membantu mengurangkan tekanan emosi atlet itu.

Menurut Ayub, Muhammad Hafizuddin sendiri meminta bantuan Nor Azura, yang sudah membimbingnya sejak 2024. Beliau berkata keadaan atlet berkenaan semakin baik hasil bimbingan dan sokongan yang diberikan.

“Kami cukup bertuah kerana Nor Azura selaku psikologis sentiasa membantu sejak hari kedua kejadian dan terus memberikan sokongan sehingga kini,” katanya selepas lawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Nor Azura bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Beliau juga kaunselor berdaftar dan pernah berkhidmat sebagai psikologis sukan angkat berat bersama Institut Sukan Negara (ISN) dari 2018 hingga 2025.

Mengulas keadaan Muhammad Hafizuddin, Ayub berkata atlet itu mengalami migrain sejak malam tadi, dipercayai kerana kurang tidur serta kemungkinan faktor emosi. Bagaimanapun, keadaan keseluruhannya tidak membimbangkan berdasarkan pemantauan doktor.

Dalam lawatan itu, Mohamad Norza mengumumkan sumbangan RM10,000 daripada dana MOM dan RM10,000 lagi daripada peruntukan peribadinya untuk membantu Muhammad Hafizuddin sepanjang tempoh pemulihan. Beliau berkata sokongan pelbagai pihak penting supaya atlet itu tidak berasa tersisih atau menghadapi dugaan berkenaan seorang diri.

“Kata-kata tak ada yang mampu mengubati. Kami diberitahu oleh doktor, ahli psikologi dan PABM bahawa keadaan semakin baik. Itu sangat penting,” katanya.

Mohamad Norza berkata pihaknya mahu menunjukkan keprihatinan dan penghargaan terhadap sumbangan serta pengorbanan atlet itu. Beliau turut menegaskan bahawa Muhammad Hafizuddin tidak sepatutnya dipinggirkan atau berasa tidak didampingi mereka yang selama ini menerima khidmatnya.

Dalam perkembangan lain, PABM mahu mempercepat perpindahan atlet angkat berat negara dari Bukit Jalil ke Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin, Pahang. Ayub berkata lokasi itu dilihat lebih sesuai bagi mewujudkan persekitaran latihan yang terkawal serta memperkukuh disiplin atlet.

Beliau berkata persekutuan perlu memastikan atlet mematuhi peraturan tanpa menjejaskan kesinambungan latihan sekiranya berlaku pelanggaran disiplin. Perbincangan dengan pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negara (MSN) dijadualkan pada 3 Dis bagi memperincikan rancangan itu, termasuk kerja menaik taraf kemudahan penginapan dan infrastruktur di pusat berkenaan.