Skuad B-12 Harimau Olimpia ke Brunei buru gelaran antarabangsa

Langkawi: Skuad Bawah 12 Tahun (B-12) Harimau Olimpia bakal membawa cabaran negara pada Kejohanan Bolasepak Antarabangsa Akademi Bolasepak Dash di Brunei, Sabtu ini. Penaung kelab itu, Datuk Rosniaida Ismail berkata, seramai 18 pemain dan lapan pegawai pasukan, termasuk dua jurulatih, akan berlepas ke Brunei, Jumaat ini.
Selepas kejohanan di Brunei berakhir, barisan pemain sama akan mewakili kelab pada Kejohanan Maxim Elite KL Boys di Kuala Lumpur dari 4 hingga 6 Disember ini. Datuk Rosniaida turut menegaskan bahawa objektif pasukan adalah untuk meraih kejayaan dan mengharumkan nama Langkawi melalui pendedahan pengalaman di peringkat antarabangsa.
“Insya-Allah, menerusi latihan bersungguh-sungguh selama sebulan di bawah kendalian ketua jurulatih, Harry Abrian pasukan cilik ini akan pulang dengan gelaran juara, sekali gus mengharumkan nama Langkawi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Doa Selamat dan Penyerahan Jersi Skuad Harimau Olimpia, hari ini.
Sementara itu, Harry yang berasal dari Indonesia berkata, skuad kendaliannya menunjukkan peningkatan memberangsangkan selepas menjalani latihan persediaan sejak sebulan setengah lalu.