Sindiket dadah TUDM: Polis buru beberapa lagi individu

Sumber: Sinar Harian

TUMPAT – Polis mengenal pasti dan sedang memburu beberapa lagi individu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), susulan penahanan 13 individu setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan kini tertumpu kepada usaha mengesan baki anggota sindiket termasuk mengenal pasti peranan setiap individu dalam rangkaian pengedaran dadah berkenaan. Beliau turut menyatakan sindiket itu dipercayai mempunyai struktur tersusun yang membabitkan ketua, penyelaras, pengangkut serta ahli lain yang memainkan peranan masing-masing.

"Sebahagian yang kita tangkap ini, 13 orang adalah sebahagian daripada sindiket berkenaan. Ada beberapa lagi yang kita percaya adalah ahli sindiket ini juga dan masih dalam tindakan pihak polis," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum ini, beliau menyampaikan penyerahan replika cek insurans kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada balu Allayarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob iaitu Nor Ilyanie Abd Aziz di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor di sini. Hadir sama ialah, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Media pada Selasa melaporkan tempoh reman empat pegawai TUDM bagi membantu siasatan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan disambung empat hari lagi bermula Rabu hingga 28 November. Tempoh reman pertama kesemua pegawai terbabit selama tujuh hari sejak 18 November lepas tamat pada Selasa.

Hussein berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sumber bekalan dadah berkenaan serta destinasi yang menjadi sasaran pengedaran sindiket terbabit. Mengulas penglibatan seorang juruterbang yang turut ditahan, beliau berkata individu berkenaan dipercayai berperanan sebagai pengangkut dadah dari Lembah Klang ke Sabah. Beliau menambah juruterbang itu bukan sahaja mempunyai peranan sebagai penyelaras, malah turut bertindak membawa bekalan dadah berkenaan. "Dia sebagai salah satu ahli. Peranan dia selain daripada penyelaras, dia juga adalah pengangkut yang membawa bekalan dadah dari Lembah Klang ke Sabah," katanya.

Menurut Hussein, setakat ini siasatan mendapati dadah berkenaan dibawa ke Labuan dan Tawau, Sabah. Namun, ujarnya, mereka tidak menolak kemungkinan terdapat destinasi lain yang turut menjadi laluan pengedaran sindiket berkenaan. Beliau memberitahu, pihaknya belum dapat mendedahkan identiti ketua sindiket atau jumlah sebenar dadah yang dibawa juruterbang terbabit kerana siasatan masih berjalan. "Semua masih dalam siasatan. Bila sampai masa, barulah kita boleh berkongsi dengan pihak media," katanya.