Sindiket dadah alih laluan ke lapangan terbang lain selepas kawalan KLIA diperketat

Tumpat: Sindiket pengedaran dadah kini dikesan menukar taktik dengan menggunakan lapangan terbang lain di negara ini sebagai laluan baharu selepas kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diperketatkan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata sindiket akan menggunakan semua ruang dan peluang yang ada untuk menyeludup dadah. "Jika tak dapat di KLIA, mereka akan cuba ke lapangan terbang lain. Begitu juga apabila kawalan di KLIA diperketatkan, terdapat cubaan untuk menggunakan lapangan terbang di Pulau Pinang dan juga Ipoh, Perak. "Jadi, kita percaya lapangan terbang lain juga akan menjadi sasaran kepada sindiket ini," katanya ditemui selepas melawat keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob yang maut dalam kemalangan membabitkan van polis di Sungkai, Perak, pada 17 November lalu.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengambil tindakan mengetatkan kawalan di semua lapangan terbang di negara ini, bukan hanya di KLIA sahaja. "Sepertimana yang dimaklumkan oleh Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sudah ada tindakan-tindakan jangka panjang, jangka sederhana dan juga jangka pendek yang sudah diambil untuk perketat kawalan di lapangan terbang. "Tindakan itu bukan membabitkan KLIA sebaliknya semua lapangan terbang," katanya. Beliau menegaskan langkah-langkah itu diambil bagi memastikan tindakan kawalan bersepadu dilaksanakan merentasi semua lapangan terbang negara.
Hussein menambah, tindakan susulan termasuk pemantauan rapi terhadap aktiviti penumpang dan kargo, serta penekanan terhadap peraturan dan prosedur keselamatan di setiap pintu masuk. Katanya, pihak berkuasa juga menjalankan risikan dan operasi bersepadu bagi mengekang aktiviti sindiket, khususnya yang cuba memanfaatkan kelonggaran tertentu di beberapa lapangan terbang. Beliau berharap langkah tersebut dapat memperkukuh keselamatan dan mengurangkan peluang penyeludupan dadah melalui jalan udara.