Sijil anggapan kematian mangsa tragedi Nepal dijangka diperoleh awal Disember

Sumber: Harian Metro
Sijil anggapan kematian mangsa tragedi Nepal dijangka diperoleh awal Disember
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Sijil anggapan kematian daripada kerajaan Nepal berhubung mangsa tragedi banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal pada 26 Ogos lalu dijangka diperoleh pada awal Disember ini. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata tempoh menunggu bagi mendapatkan sijil anggapan kematian itu sudah dipendekkan daripada tempoh 12 tahun kepada 45 hari hasil perbincangan antara Kementerian Sumber Manusia dengan Kementerian Luar Negeri. "Tempoh 45 hari itu juga sudah berlalu. Oleh itu, kita kini sedang menunggu pihak Nepal mengeluarkan surat berkaitan yang dijangka dilakukan pada awal Disember," katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Khas Kepada Mangsa Tragedi Nepal di Menara PERKESO di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata banjir kilat melanda daerah Rasuwa di Nepal serta kawasan sempadan Nepal-Tibet susulan runtuhan ais glasier dan batuan di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet. Tragedi itu meragut lebih 1,400 nyawa dengan kira-kira 5,700 individu termasuk lebih 600 warga asing masih dilaporkan hilang. Ramanan berkata, semua pihak terbabit memberikan kerjasama bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu waris mangsa, khususnya dalam menyelesaikan urusan dokumentasi berkaitan. "Saya juga mendapat jaminan daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa sebaik sahaja semua dokumentasi dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri berdasarkan dokumen yang diterima daripada pihak Nepal, beliau bersedia mengeluarkan sijil berkenaan secepat mungkin. "Semua pihak bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu semua keluarga mangsa," katanya.