Shiqin Kamal, suami pilih set memanah sebagai hantaran kahwin

Sumber: Harian Metro
Shiqin Kamal, suami pilih set memanah sebagai hantaran kahwin
Gambar: Harian Metro

Petaling Jaya: Pelakon Shiqin Kamal dan suaminya, Mika Irfan Nojey Aman Amalo Nojey yang juga jurulatih sukan memanah dan berkuda, memilih set peralatan memanah sebagai hantaran perkahwinan mereka. Pasangan berkenaan, yang sah bergelar suami isteri hari ini, menggantikan barangan mewah kebiasaan seperti beg tangan, pakaian dan kasut dengan peralatan sukan berkenaan sebagai simbolik cinta serta minat bersama.

Menurut Shiqin, 35, set busur dan anak panah itu bukan sekadar simbolik pada hari bahagia, sebaliknya akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka untuk menyertai pertandingan pada masa akan datang. "Dia adalah jurulatih memanah, jurulatih berkuda dan juga atlet kebangsaan bagi sukan memanah berkuda, manakala saya pula memang meminati sukan ini sejak awal lagi. Apabila kami merancang untuk berkahwin, saya tidak mahu hantaran biasa seperti beg tangan, baju atau kasut. Saya ajak dia untuk memiliki satu set memanah khas milik kami sendiri," katanya.

Sementara itu, Shiqin mengakui perlu lebih komited menjalani latihan memanah pada masa depan memandangkan suaminya sudah menyusun jadual latihan khas buatnya. "Sekarang apabila sudah tinggal berdekatan dengan pusat latihan, saya tiada alasan lagi kerana dia sudah pun menyediakan jadual latihan untuk saya," katanya.

Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 29 Ogos lalu bersempena tarikh lahir Mika, sebelum memilih tarikh lahir Shiqin pada 25 November sebagai hari akad nikah mereka.