Sheikh Hasina tetapkan 16 Disember untuk pulang ke Bangladesh

Sumber: Harian Metro
Sheikh Hasina tetapkan 16 Disember untuk pulang ke Bangladesh
Gambar: Harian Metro

DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, menetapkan 16 Disember ini untuk pulang ke tanah air dari India, bersempena Hari Kemenangan Bangladesh, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media Bangladesh, Daily Waadaa, pada Selasa.

Bekas Menteri Negara bagi Penerangan dalam pentadbirannya, Mohammad Ali Arafat, mengesahkan perkara itu kepada AA. “Ya, beliau telah menetapkan tarikhnya. Kini terserah kepada pentadbiran semasa Bangladesh untuk memudah cara kepulangannya,” katanya.

Hasina turut meminta kerajaan Bangladesh mengurus kepulangannya dari New Delhi menggunakan pesawat syarikat penerbangan nasional Biman Bangladesh Airlines. Ini kali pertama beliau menetapkan tarikh khusus untuk pulang sejak melarikan diri ke India pada 5 Ogos 2024, susulan kebangkitan rakyat secara besar-besaran yang menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun.

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Bangladesh, Shama Obaed Islam, pada Isnin berkata Hasina akan ditahan dan dipenjarakan sebaik sahaja pulang. Dhaka juga meminta India mengekstradisi beliau mengikut perjanjian ekstradisi sedia ada antara kedua-dua negara.

Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan politik meningkat dan beberapa insiden keganasan berlaku sejak Hasina memohon pasport baharu serta dokumen lain awal bulan ini. Parti Liga Awami pimpinan beliau masih dilarang menjalankan aktiviti politik di Bangladesh.

Hasina dijatuhi hukuman mati tanpa kehadirannya di mahkamah pada November 2025 atas jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan semasa kebangkitan rakyat pada 2024. Bangladesh menyambut Hari Kemenangan pada 16 Disember bagi memperingati penyerahan kalah tentera Pakistan pada 1971, yang menamatkan Perang Pembebasan selama sembilan bulan dan membuka jalan kepada kemerdekaan negara itu.