SENIMAN anjur HARA 2026 di Kompleks Studio Merdeka FINAS

Sumber: Harian Metro
SENIMAN anjur HARA 2026 di Kompleks Studio Merdeka FINAS
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) akan menganjurkan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2026: Industri Kreatif di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Ulu Kelang pada Ahad ini.

Program bertemakan ‘Filem Telus, Sinema Berjaya’ itu diadakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata program berkenaan menyasarkan penyertaan pemain industri kreatif, warga FINAS dan pelajar. Pendekatan santai serta mesra dipilih bagi mendekatkan mesej antirasuah kepada golongan berkenaan.

“Kita mahu penggiat seni memahami bahawa isu integriti ini dekat dengan kehidupan dan kerjaya mereka. Sebab itu, pendekatan lebih santai dan mesra dipilih supaya mesej anti rasuah dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata setiap penggiat seni kreatif perlu menjadikan integriti sebagai prinsip utama kerjaya dan menggunakan pengaruh masing-masing untuk menyebarkan nilai positif kepada masyarakat.

Zed berkata ahli SENIMAN berperanan bukan sahaja sebagai penggiat seni, malah sebagai individu yang mempunyai pengaruh kepada masyarakat. Mereka perlu mengamalkan integriti dalam urusan kontrak, pembayaran, pengurusan produksi dan hubungan profesional.

“Kita perlu berani menolak rasuah dan tidak berkompromi dengan sebarang amalan yang salah kerana seni bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk menyampaikan nilai dan membentuk masyarakat,” katanya.

Penggiat seni turut diharapkan menyertai program itu bagi menambah pengetahuan mengenai hak dan tanggungjawab, selain melindungi diri daripada eksploitasi serta salah guna kuasa. Antara pengisian disediakan ialah taklimat khas SPRM, bengkel TikTok percuma, pertandingan video pendek Public Service Announcement (PSA), pameran industri dan persembahan artis.