Semangat, kenangan bapa iringi renangan 190km jadi rekod dunia

Berbekal semangat dan kenangan mendiang bapanya, Anna-Carin Nordin daripada Sweden berjaya berenang sejauh 190 kilometer merentasi Terusan Göta, sekali gus mencipta rekod dunia sebagai perenang wanita terpantas menamatkan cabaran itu dalam tempoh 10 hari, 10 jam dan sembilan minit, mengikut Rekod Dunia Guinness (GWR). Cabaran itu berlangsung tanpa menggunakan sut selam, berbeza dengan dua perenang lelaki sebelum ini yang pernah mencuba laluan sama.
Misi renangan itu dirancang untuk dilakukan bersama mendiang bapa, Karl-Erik, yang berperanan sebagai pengurus pasukan sokongan darat serta menguruskan logistik. Mereka berdua sebelumnya bekerjasama dalam cabaran renangan sejauh 333 kilometer di kepulauan Oland pada 2020. Rancangan dua beranak itu lebih besar dengan hasrat merentasi rangkaian terusan dan tasik melalui jarak lebih 400 kilometer, bermula dari Mem di pantai timur Sweden dan berakhir di Gothenburg di sebelah barat. Namun kejadian tragik menimpa apabila Karl-Erik diserang strok dan meninggal dunia sebelum mereka sempat memulakan misi itu.
Nordin, yang juga anggota penyelamat dan perenang maraton, berkata cabaran itu bukan sekadar usaha mencipta rekod dunia tetapi peluang untuk membawa kenangan bapanya sepanjang perjalanan yang sepatutnya ditempuhi bersama. Beliau memulakan misi pada 17 Mei lalu di Mem dan menamatkan di Sjotorp berhampiran Tasik Vänern pada 27 Mei lalu, membahagikan 190 kilometer renangan kepada 20 peringkat dengan jarak terpanjang 16 kilometer, serta melalui 58 pintu air sepanjang Terusan Göta.