Richard Chin terus meledak untuk Ross County selepas kejayaan bersama Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Ketajaman Richard Chin di depan gawang lawan terus mencuri perhatian apabila pemain warisan negara itu membuktikan kemampuan menjaringkan gol bukan hanya bersama Harimau Malaya, malah turut diterjemahkan di pentas kelab. Selepas muncul wira dengan dua jaringan ketika membantu skuad kebangsaan menewaskan Yaman 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di China pada 17 November lalu, pemain berusia 24 tahun itu sekali lagi menemui sentuhan penyudah bersama Ross County. Terbaharu, Chin meledak satu gol ketika Ross County membelasah Cove Rangers 5-1 pada Sabtu lalu, sekali gus meneruskan momentum positif selepas mencipta detik istimewa dengan jaringan sulungnya bersama Harimau Malaya. Lebih menarik, pemain itu hanya memerlukan 16 minit selepas dimasukkan pada minit ke-68 bagi menggantikan Luke McCarvel untuk mencetak gol ketiga pasukannya.
Bagi Richard, kejayaan meledak gol pertama bersama Malaysia cukup bermakna selepas melalui perjalanan panjang sebelum akhirnya diberikan kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan. "Perasaan yang cukup hebat apabila dapat menjaringkan gol pertama saya untuk Malaysia. Tiada perasaan yang lebih baik, terutama apabila mengenangkan perjalanan yang membawa saya sehingga ke tahap ini. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih kerana memberikan peluang untuk saya bermula dalam kesebelasan utama serta rakan sepasukan yang membantu saya sepanjang perlawanan," katanya.
Perkembangan positif itu pastinya menjadi petanda baik buat Harimau Malaya yang memerlukan lebih ramai pemain memiliki kemampuan menghasilkan jaringan, terutama menjelang tugasan antarabangsa tahun depan. Bagaimanapun, Richard perlu mengekalkan konsistensi bersama Ross County sekiranya mahu terus menjadi pilihan dan mengukuhkan kedudukannya dalam perancangan skuad kebangsaan.