Kawalan lapangan terbang seluruh negara diperketat untuk sekat laluan sindiket dadah

Sumber: Sinar Harian

Tumpat: Polis akan memperketatkan kawalan di lapangan terbang seluruh negara bagi menutup ruang sindiket dadah yang cuba mencari laluan alternatif selepas kawalan di KLIA dipertingkatkan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata sindiket tidak akan berdiam diri; sebaliknya sentiasa mencari ruang baharu untuk meneruskan penyeludupan dadah.

Beliau menjelaskan tindakan menguatkuasakan kawalan di KLIA sebelum ini menyebabkan sindiket beralih mencuba lapangan terbang lain, termasuk di Pulau Pinang dan Ipoh. "Kita ketatkan kawalan di KLIA, ada cubaan menggunakan lapangan terbang di Pulau Pinang dan Ipoh. Jadi, kita percaya lapangan terbang lain juga akan menjadi sasaran sindiket ini," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sementara itu, Hussein turut menyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil dan akan melaksanakan beberapa tindakan jangka pendek, sederhana serta panjang bagi memastikan kawalan keselamatan di lapangan terbang lebih menyeluruh. Langkah tersebut penting bagi memastikan sindiket tidak mengambil kesempatan menggunakan lapangan terbang lain sebagai laluan alternatif untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

Penyerahan replika cek insurans kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada balu Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor turut disampaikan Hussein pada majlis itu. Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Media sebelum ini melaporkan penyeludup dadah dipercayai beralih menggunakan lapangan terbang lain, termasuk di Pulau Pinang dan Kota Bharu, selepas menyedari penggunaan teknologi pengesanan lebih canggih di KLIA. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perubahan taktik itu menyebabkan kerajaan perlu memperluas penggunaan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) analitik kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kegiatan penyeludupan dadah di pintu masuk negara. Hussein menegaskan KDN akan melaksanakan langkah-langkah berkenaan untuk meningkatkan kawalan di lapangan terbang seluruh negara.