Scheffler buru rekod lima tahun berturut-turut

New York: Pemain golf nombor satu dunia, Scottie Scheffler, tersenarai antara calon Anugerah Pemain Terbaik Jelajah PGA ketika dia memburu rekod menyamai pencapaian Tiger Woods yang memenangi penghormatan itu lima tahun berturut-turut. Jelajah PGA mengumumkan Scheffler, yang memenangi Anugerah Jack Nicklaus dalam empat tahun terakhir, adalah antara lima pemain yang dicalonkan bersama Wyndham Clark, Matt Fitzpatrick, Chris Gotterup dan Cameron Young. Pengumuman dibuat menjelang penutup musim 2026 di mana Scheffler beraksi dalam perlumbaan ke Anugerah Pemain Terbaik Jelajah PGA.
Scheffler memenangi tiga gelaran pada 2026 menerusi kejayaan di The American Express, Kejohanan FedEx St Jude dan Kejohanan Tour yang menutup tirai musim. Pada pusingan terakhir Kejohanan Tour, beliau bangkit daripada ketinggalan tiga pukulan sebelum meraih hadiah AS$10 juta (RM44 juta), sekali gus memintas Woods dalam senarai pendapatan kerjaya sepanjang zaman PGA Tour. Juara empat gelaran utama itu menyertai 20 kejohanan, mencatat 13 penamat dalam kelompok 10 terbaik, iaitu rekod tertinggi dalam Tour musim ini, selain hanya gagal melepasi satu cut.
Alex Fitzpatrick pula dicalonkan bagi Anugerah Arnold Palmer, yang diberikan kepada Pemain Baharu Terbaik PGA Tour. Dia bergandingan dengan abangnya, Matt untuk menjuarai Zurich Classic of New Orleans, sekali gus menjamin keahlian PGA Tour buat dirinya. Ben James, Jackson Koivun, Marco Penge dan Kristoffer Reitan adalah calon lain bagi anugerah pemain baharu itu. Kedua-dua anugerah ditentukan menerusi undian ahli Jelajah PGA yang menyertai sekurang-kurangnya 15 kejohanan rasmi sepanjang musim 2026. Undian akan ditutup pada 4 Disember, manakala pemenang akan diumumkan pada tarikh kemudian.