Tidur sebantal, mimpi berbeza” Razali: isteri sertai PAS, beliau masih ahli BERSATU

Kuala Terengganu: Bekas Ketua BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, “Setakat ini, saya dan isteri diibaratkan sebagai tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain,” merujuk penyertaan isterinya, Datin Nor Aizam Abu Bakar sebagai ahli PAS pada Khamis lalu. Beliau yang juga EXCO kerajaan negeri telah meletak jawatan sebagai Ketua BERSATU negeri dan Ketua Bahagian Marang pada Ogos lalu, namun masih kekal sebagai ahli parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Nor Aizam menyertai PAS dan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS negeri pada Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0), Khamis lalu. Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal mengesahkan tidak menghalang Nor Aizam daripada menyertai PAS walaupun dia masih menjadi ahli BERSATU. Katanya, perbezaan haluan politik antara dirinya dan isteri bukan sesuatu yang perlu menjadi penghalang, malah dia menghormati keputusan Nor Aizam untuk meneruskan perjuangan bersama PAS.
Beliau menambah fokus pada tanggungjawab dalam sektor pelancongan negeri seperti diamanahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, meskipun BERSATU tidak lagi menjadi gabungan Perikatan Nasional (PN). Razali juga tidak terkejut dan tidak menghalang keputusan isterinya untuk menyertai PAS, dan menegaskan bahawa kedudukan sebagai ahli BERSATU masih kekal serta beliau tidak pernah mengemukakan surat keluar parti. “Saya hanya menghantar surat melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri pada 7 Ogos lalu selepas kira-kira 10 tahun menerajui parti itu di negeri ini,” katanya. Razali turut menyatakan kemungkinan mengikuti isterinya menyertai PAS selepas menyelesaikan tanggungjawab yang diamanahkan BERSATU.