Sarawak rancang bina terminal kapal persiaran di Tanjung Sepak

KUCHING: Sarawak merancang membangunkan terminal kapal persiaran di Tanjung Sepak, Santubong, sebagai pintu masuk baharu pelancong antarabangsa menerusi laluan pelayaran serantau. Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata perancangan itu dibuat susulan tinjauan pasukan syarikat kapal persiaran Royal Caribbean dari Singapura untuk menilai potensi laluan yang menghubungkan Singapura, Kuching, Bali dan Kota Kinabalu.
Beliau berkata jeti berkenaan akan dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam bagi mengurus ketibaan pelancong sebelum mereka meneruskan perjalanan ke kawasan Damai. Pelancong lazimnya akan meluangkan masa sehari dan bermalam, selain berpeluang bermain golf, mengunjungi Kampung Budaya Sarawak dan mungkin ke bandar raya Kuching.
“Di Tanjung Sepak, kita akan membangunkan jeti yang dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam, sebelum pelancong dibawa terus ke Damai,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Kuching di Metrocity Matang hari ini.
Abang Johari berkata Tanjung Sepak dipilih kerana kedalaman perairannya mencecah sehingga 16 meter, berbanding kebanyakan kawasan di Sungai Santubong yang lebih cetek. Keadaan itu membolehkan jeti dibangunkan tanpa kerja pengorekan dasar laut yang memerlukan kos tinggi, sekali gus mengekalkan keindahan semula jadi kawasan berkenaan.
“Dari segi kosnya, kita akan maklumkan kemudian, namun ia akan dibuat berdasarkan kemampuan kita,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, akses jalan raya ke Santubong menerusi Jalan Sultan Tengah akan dinaik taraf kepada laluan berkembar. Proses tender sedang berjalan, manakala kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan.
Rangkaian Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) juga dirancang untuk diperluaskan sehingga ke Damai bagi menambah baik perhubungan ke kawasan peranginan itu. Usaha bersepadu berkenaan dijangka memperkukuh kedudukan Kuching sebagai destinasi pelancongan serantau serta membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.