Anwar: Sumbangan A Samad Said melalui ‘Salina’ terus dikenang

Sumber: Sinar Harian

SHAH ALAM – Sumbangan Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said dalam mengangkat nasib golongan terpinggir menerusi karya sastera, khususnya novel ‘Salina’, akan terus dikenang sebagai warisan penting kesusasteraan tanah air, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Anwar berkata, karya yang diterbitkan pada 1961 itu bukan sekadar mengetengahkan kehidupan masyarakat terpinggir, malah mendorong pembaca memahami penderitaan mereka dan memperjuangkan harapan golongan berkenaan.

Menurut beliau, keprihatinan Allahyarham terhadap nasib rakyat turut terserlah melalui karya-karyanya. A Samad Said juga dikenang atas keteguhan mempertahankan martabat bahasa Melayu serta memperjuangkan keadilan.

“Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.

“Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial.

Anwar turut menzahirkan rasa hiba dan sayu atas pemergian tokoh sastera itu. Beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, segala dosanya diampunkan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Beliau turut berharap keluarga Allahyarham diberikan ketabahan serta kekuatan untuk menghadapi kehilangan insan tersayang.