Sabah cadang bina Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi untuk prahospital

Sumber: Harian Metro
Sabah cadang bina Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi untuk prahospital
Gambar: Harian Metro

Kota Kinabalu: Hospital yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi dicadang dibina di Sabah bagi mengatasi kekurangan petugas perkhidmatan prahospital dan ambulans. Usulan ini turut membabitkan penubuhan pusat latihan perkhidmatan prahospital bagi meningkatkan bilangan pegawai terlatih di negeri itu. Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri, berkata tindakan perlu diambil untuk menangani kekurangan terutama sumber manusia dan kelengkapan ambulans sama ada di bandar mahupun kawasan pedalaman. "Ini bagi memastikan perkhidmatan prahospital atau ambulans di negeri ini dapat memberi rawatan berkualiti yang bernilai tinggi," katanya pada majlis penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penyakit jantung iskemik masih menjadi punca utama kematian negara, termasuk di Sabah, diikuti penyakit serebrovaskular atau strok serta kemalangan jalan raya. Tambah Hajiji, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga menunjukkan peningkatan aliran panggilan kecemasan melalui talian 999, dengan 15,434 panggilan direkodkan pada 2025 berbanding 14,256 panggilan pada 2024, manakala 10,154 panggilan direkodkan setakat September tahun ini. Data itu katanya memberi gambaran pentingnya meningkatkan perkhidmatan pra hospital dan ambulans di Sabah untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Beliau menegaskan peranan ahli pertolongan cemas amat penting dalam masyarakat sebagai langkah awal sebelum ketibaan ambulans dan pasukan perkhidmatan prahospital. "Sehubungan itu, usaha melatih lebih ramai ahli pertolongan cemas dengan menyediakan pasukan yang berkemahiran dan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan kecemasan, sangat penting dalam suasana kecemasan bagi mengurangkan kadar kematian," tambahnya. Kursus berkenaan disertai pengiring peribadi Menteri, Pembantu Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai di Jabatan Ketua Menteri Sabah.