Anwar jamin hak penduduk asal dilindungi menerusi RUU Pembaharuan Semula Bandar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan hak penduduk asal akan terus dipertahankan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), ketika menjawab isu itu dalam program Dialog Negara yang disiarkan secara langsung malam ini.
Beliau berkata, undang-undang berkenaan diperlukan bagi membolehkan kawasan perumahan daif, khususnya di Kuala Lumpur, dibangunkan semula. Usaha itu sebelum ini berdepan kesukaran kerana pelaksanaannya memerlukan persetujuan 100 peratus penghuni.
Bagi menangani kekangan tersebut, kerajaan menetapkan ambang persetujuan antara 70 hingga 80 peratus. Bagaimanapun, Anwar menegaskan hak penduduk yang tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan semula tetap perlu dilindungi.
“Kalau nak kata 100 peratus setuju, itu tak jalanlah perumahan. Tapi kalau kita tetapkan 70 peratus, 80 peratus, tetapi dengan memberi jaminan kepada yang tidak bersetuju tapi masih bagi hak kepada mereka. Itu yang kita putuskan,” katanya.
Anwar berkata, beliau tidak sanggup melihat keadaan perumahan yang daif di Kuala Lumpur berterusan dan menyifatkan tindakan perlu diambil menerusi undang-undang dengan jaminan jelas terhadap hak penduduk asal.
“Tetapi kalau tanya saya, saya tidak sanggup melihat perumahan begitu daif di Kuala Lumpur ini. Jadi harus dilakukan sesuatu dan perlu undang-undang dengan jaminan, ini saya setuju, jaminan yang jelas pertahankan hak penduduk asal,” katanya.
Dalam usaha menyediakan kediaman lebih selesa, kerajaan sedang membangunkan beberapa kawasan dan tanah baharu di Kuala Lumpur serta bandar-bandar besar menerusi konsep pembangunan Madani. Anwar berkata, beberapa projek perumahan yang mengambil masa dua hingga tiga tahun itu sudah hampir siap untuk dimulakan.
“Dalam saya ingat bulan Disember, Januari saya akan luncurkan beberapa projek perumahan yang mengambil masa tentunya dua tiga tahun tapi sekarang sudah hampir siap. Itu yang telah dapat dimulakan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kediaman baharu yang dibangunkan akan jauh lebih selesa. Kerajaan, katanya, tidak akan berkompromi dengan pemaju yang gagal mematuhi syarat pihak berkuasa tempatan sebelum sebarang perjanjian dimeterai.
Ketegasan itu penting untuk meredakan kebimbangan penduduk, susulan pengalaman lalu apabila terdapat projek perumahan yang terbengkalai sekian lama tanpa tindakan tegas diambil, menurut Anwar.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa RUU itu ialah strategi kaum tertentu untuk menguasai kawasan perumahan. Anwar menegaskan Kerajaan Madani komited mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.
“Kali pertama dalam sejarah sejak merdeka, tanah di Kuala Lumpur disahkan sebagai tanah rizab Melayu, 50 ekar permulaan. Itu belum pernah berlaku. Jadi soal kita nak tolak ansur dengan tuntutan gerombolan pemodal, tak mungkin,” katanya.
Dialog Negara disiarkan menerusi TV1 dan RTMKlik, selain secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS. Barisan panel program itu terdiri daripada Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan; serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.
Turut menyertai program berkenaan ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee; serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.