Pindaan Perlembagaan bagi asingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dimuktamadkan

Sumber: Astro Awani
Pindaan Perlembagaan bagi asingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dimuktamadkan
Gambar: Astro Awani

Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya masih dalam proses dimuktamadkan bagi memastikan semua aspek perundangan dan perlembagaan diberi pertimbangan sewajarnya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan itu telah dipersembahkan untuk makluman Majlis Raja-Raja pada 13 Okt lepas.

Susulan itu, beliau berkata beberapa perkara dibangkitkan telah dibawa untuk penelitian lanjut oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK), khususnya berhubung mekanisme pelantikan Pendakwa Raya. Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudiannya mengemukakan draf pindaan terkini kepada RUU tersebut pada 30 Okt, yang kemudiannya dibawa untuk penelitian dan perbincangan lanjut dalam Mesyuarat Penyelarasan JKPK pada 11 Nov lepas.

“RUU tersebut akan dibawa semula untuk pertimbangan Dewan Rakyat setelah proses penelitian dan pemuktamadan selesai,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman sesawang Parlimen. Azalina menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai perkembangan terkini proses penggubalan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memisahkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

RUU bagi memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Feb lepas. Azalina kemudiannya membawa usul merujuk RUU berkenaan kepada JKPK selepas bacaan kali kedua pada 3 Mac, bagi memberikan ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalus dan meneliti RUU tersebut.