RTM siar episod khas Dialog Negara bersama Anwar malam esok

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan episod khas program Dialog Negara bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tetamu utama pada 9 malam esok.
Jabatan Penyiaran dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berdurasi 60 minit itu bertemakan “Di Sebalik Keputusan”. Siaran akan dibuat menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik, selain disiarkan serentak di Bernama TV, TV3, Astro Awani, TV AlHijrah dan TVS.
Episod khas itu membuka ruang perbincangan lebih mendalam mengenai pertimbangan, cabaran serta rasional di sebalik keputusan utama kerajaan dalam usaha memperkukuh pembangunan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurut Jabatan Penyiaran, program itu menggunakan pendekatan dialog terbuka yang berbeza daripada format temu bual konvensional. Anwar akan menyertai hos, panel pakar daripada pelbagai industri serta penonton di studio dalam perbincangan berkenaan.
Perbincangan akan merangkumi empat dimensi utama, iaitu di sebalik sesuatu keputusan, reformasi dan perubahan, harapan rakyat serta masa depan Malaysia. Pendekatan itu, kata jabatan berkenaan, membolehkan penonton memahami bukan sahaja keputusan yang dilaksanakan, malah proses pertimbangan, cabaran pelaksanaan dan kesannya terhadap masyarakat.
Program itu turut menampilkan interaksi dengan tokoh serta wakil pelbagai sektor, termasuk ekonomi, keusahawanan, kesihatan, pendidikan, pertanian dan tadbir urus, bagi memperkaya sudut pandang perbincangan.
Jabatan Penyiaran berkata penganjuran program itu selaras dengan komitmen RTM sebagai penyiar awam untuk memperkasa budaya wacana yang matang, berasaskan fakta dan inklusif, selain menjadi penghubung antara rakyat dengan pembuat dasar.