Rezeki hari lahir ke-50: pemandu Grab rai tawaran umrah bersama isteri

Sepang: Pemandu e-hailing Grab, Khusairill Md Yusof, 50, menerima tajaan umrah selepas menyertai program Umrah Bersama Rakan Grab pada Februari lalu, sebagai hadiah hari lahir yang lebih bermakna. Beliau berkata menerima berita itu tepat pada ulang tahun kelahirannya yang ke-50 dan memilih isterinya, Siti Anizah Ibrahim, 38, sebagai teman perjalanan untuk menunaikan ibadah berkenaan.
Khusairill menyatakan isterinya tidak menyangka sebagai rakan pemandu dia berjaya membuka jalan untuk mereka suami isteri menjadi tetamu Allah meskipun sebelum ini berdepan kekangan kewangan. “Bagi kami yang kurang berkemampuan, rezeki ini sememangnya satu anugerah besar daripada Allah SWT. Kami sangat teruja dan masih tidak menyangka impian kami suami isteri untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Pasangan itu berlepas dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama lapan lagi pemenang pada jam 9.30 pagi semalam. Seorang lagi pemenang, Muhammad Ilvira Masri, 33, turut mengakui terkejut dan sebak sebaik menerima perkhabaran gembira itu, yang diterima dalam tempoh seminggu sebelum isterinya, Noor Atiqahidayu Zulkipli, 33, melahirkan anak.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rakan Grab Malaysia (PRGM), Shanlee Tan Shamsuri Tan berkata inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan Grab Malaysia terhadap kebajikan rakan pemandu, rakan penghantar serta keluarga mereka. “Alhamdulillah, saya bersyukur dan amat menghargai usaha Grab Malaysia meneruskan program ini buat kali ketiga. Di sebalik penat lelah mencari rezeki, ramai dalam kalangan rakan kita menyimpan impian ke Tanah Suci namun masih kekangan dari segi kewangan. Dengan izin Allah SWT, Grab Malaysia menjadi asbab impian mereka terlaksana, sekali gus membuktikan kebajikan rakan pemandu tidak pernah dilupakan,” katanya.